Skip to main content

Dunia

ASEAN lakukan reformasi perdagangan, tingkat penggunaan mata wang tempatan, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN lakukan reformasi perdagangan, tingkat penggunaan mata wang tempatan, kata PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Perniagaan BRICS di Rio de Janeiro, Brazil pada 6 Julai, 2025. - (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 10:27AM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 10:33AM
KUALA LUMPUR: ASEAN sudah mengambil langkah mereformasikan kumpulan itu dengan cara bukan sahaja meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara anggota tetapi juga menggunakan mata wang tempatan, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.

PM Anwar berkata, langkah itu merupakan usaha meningkatkan langkah konkrit ke arah sistem kewangan lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral (sepihak), lapor BH Online. 

"Sudah tentunya, ia bukan mengenai de-dollarisasi (pengurangan pergantungan terhadap dolar Amerika)... belum lagi, langkah itu masih jauh lagi. Tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

"Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Thailand, dan bersama-sama China, kita mula menggunakan mata wang tempatan kita sendiri, walaupun ia bermula dengan hanya 10 atau 20 peratus daripada jumlah perdagangan, menurut laporan BH Online. 

"Ia membawa perubahan kerana kita tidak boleh berterusan merungut tanpa melaksanakan rancangan sendiri, baik sesama sendiri mahupun dengan jiran kita," katanya semasa Forum Perniagaan BRICS bertajuk: 'Bridging Continents, Building Future: A Shared Agenda for Sustainable Progress' (Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan), di Rio de Janeiro, Brazil pada Sabtu (5 Jul).

Turut menghadiri forum itu ialah Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva; Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin; dan Presiden Confederation of National Industry (CNI) Brazil, Ricardo Alban.

PM Anwar turut menekankan bahawa negara-negara Asia Tenggara perlu mendukung prinsip pemusatan, bersahabat dengan semua, dan menyokong tujuan adil tetapi melangkaui retorik, cakap-cakap politik serta kenyataan kosong. Ia mesti menerusi tindakan konkrit," tegasnya, seperti ditukil laporan BH Online. 

Beliau berkata, ekonomi sedang pesat membangun dan semakin mencatatkan kejayaan dalam bidang-bidang seperti penerbangan, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi makanan.

"Saya percaya percubaan BRICS ini akan menjadi beberapa kejayaan besar yang bakal mengubah dan membawa perubahan dalam sejarah umat manusia.

"Saya berasal dari Malaysia, dan dalam ASEAN, kami sering membincangkan isu yang sama. Pertamanya, kita mesti bersatu. Kita bersatu dalam satu suara berdasarkan perjanjian pelbagai hala," katanya.

Dalam pada itu, PM Anwar berkata, negara-negara anggota BRICS dan ASEAN juga perlu terus mengukuhkan kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan serta pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun.

"Saya turut menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) agar lebih mencerminkan realiti semasa serta keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua," katanya.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita