ASEAN kekal platform penting bagi keamanan, kestabilan serantau, kata Menteri Luar Kemboja
Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn pada Jumaat (7 Ogos) berkata, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) kekal sebagai platform penting bagi keamanan dan kestabilan serantau, berpandukan Piagam ASEAN serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), lapor Xinhua.
Bendera ASEAN diletakkan bersama bendera negara-negara anggotanya pada 17 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
"Selama hampir enam dekad, ASEAN telah membantu mengubah Asia Tenggara daripada sebuah rantau yang dicirikan oleh perpecahan dan ketidaktentuan kepada rantau yang semakin ditakrifkan oleh dialog, kerjasama dan kemakmuran bersama," kata beliau dalam perutusan rasmi sempena ulang tahun ke-59 ASEAN.
Bagaimanapun, beliau berkata, rantau itu kini berdepan landskap global yang semakin tidak menentu, dengan konflik bersenjata yang kembali tercetus, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing serta tekanan yang meningkat terhadap undang-undang antarabangsa dan pendekatan pelbagai hala.
"Dalam persekitaran yang tidak menentu ini, ASEAN tidak boleh bersikap pasif. Kita bukan sekadar perlu bertindak balas terhadap perubahan, malah perlu membantu membentuknya," kata beliau sambil menegaskan bahawa perpaduan dan kepusatan ASEAN kekal penting dalam mendepani cabaran geopolitik moden.
Encik Sokhonn, yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, Kemboja berbangga atas sumbangannya kepada rantau tersebut sejak menyertai blok berkenaan pada 1999.
Beliau mengulangi komitmen teguh Kemboja untuk memperkukuh perpaduan, daya tahan dan kerelevanan global ASEAN, di samping menjunjung Piagam ASEAN dan TAC dari segi prinsip serta pelaksanaannya.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.