ASEAN jalin kerjasama dengan pelabur, ADB Bank Dunia bagi biaya projek grid kuasa
Blok Asia Tenggara sedang bekerjasama dengan pelabur serta bank pembangunan multilateral (MDB) untuk memperkukuh Grid Kuasa ASEAN (APG) iaitu grid saling bersambung utama yang dirancang antara negara anggota.

Bendera negara-negara anggota ASEAN. (Gambar: AFP/Bay Ismoyo)
Ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Pelaburan ASEAN pada Selasa (8 Apr), Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ASEAN telah menghubungi beberapa MDB termasuk Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
Encik Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan Malaysia, berkata pembiayaan itu bertujuan menyokong projek yang melibatkan penghantaran elektrik dari Vietnam ke Kelantan melalui kabel bawah laut, dengan pengagihan selanjutnya ke Singapura melalui talian penghantaran di daratan.
APG adalah inisiatif serantau yang diperkenalkan pada 1997 untuk menyambungkan infrastruktur elektrik antara negara anggota.
Selain itu, Encik Anwar juga menekankan usaha berterusan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi blok tersebut.
Beliau juga berkata negara-negara anggota juga telah memperluas kesalinghubungan pembayaran ASEAN antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Pada hari ini, kita akan melancarkan (lanjutan) jalinan pembayaran antara Malaysia dan Kemboja, dengan aspirasi untuk meliputi negara-negara lain di ASEAN. Ini akan membantu menggalakkan perdagangan dan pelancongan intra-ASEAN,” kata beliau.
Menurut Encik Anwar, usaha itu akan merangsang integrasi ekonomi yang lebih kukuh untuk membolehkan perniagaan lebih memanfaatkan ASEAN sebagai pasaran dan akan terus memajukan juara serantau dalam sektor meliputi perkhidmatan kewangan, tenaga, pelancongan kesihatan, telekomunikasi dan logistik.
“Visi kita untuk ASEAN adalah menjadi sebuah rantau yang makmur, mampan dan inklusif, yang memerlukan keazaman politik, modal yang besar, kecekalan dan sedikit tuah.
“Ia juga memerlukan kemajuan yang pantas dalam inisiatif di peringkat subrantau,” kata beliau.
AIC diadakan sempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Mesyuarat yang berlangsung dari 7 hingga 10 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu berfungsi sebagai antara platform utama ASEAN untuk memperkukuh integrasi ekonomi serantau dan daya tahan kewangan secara kolektif.
10 negara anggota ASEAN ialah Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
ASEAN merupakan blok ekonomi kelima terbesar dunia, dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS$3.8 trilion (S$5.14 trilion) pada 2023 dan jumlah penduduk sebanyak 677 juta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.