Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ASEAN harus hasilkan kandungan bersama untuk kuasai pasaran lebih besar, kata Annuar Musa

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Negara-negara ASEAN harus menghasilkan kandungan filem dan drama secara bersama dalam usaha menguasai pasaran industri kreatif, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

ASEAN memiliki jumlah penduduk yang melebihi 600 juta dan ia adalah pasaran yang besar berbanding pasaran individu 10 anggotanya.

“Kita tidak seharusnya membataskan keadaan dengan memaksa rakyat menikmati kandungan tempatan sahaja. ASEAN harus menghasilkan kandungan secara bersama, menerusi filem, drama atau kandungan untuk stesen radio dan TV yang akan difilemkan di rantau ini.

“Saya sudah bertemu dengan rakan-rakan sejawatan bagi menyampaikan idea ini dan menjadikan ASEAN sebagai pasaran lebih besar. Setakat ini, kami menerima maklum balas positif,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, Encik Annuar berkata Malaysia sedang menyusun strategi untuk membida menjadi ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2023-2026.

"Malaysia sudah membida untuk menganggotai Majlis ITU. Bilangan negara yang menawarkan pencalonan mereka melebihi slot yang ada. Oleh itu, Malaysia perlu menyusun strategi dan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain. Kami berharap dapat menyokong satu sama lain dan mengukuhkan undian," kata beliau.

Sebanyak 18 negara sudah membentangkan pencalonan mereka untuk merebut 12 slot di rantau E - Asia dan Australasia, menurut Majlis ITU menerusi laman web mereka.

Malaysia sebelum ini pernah anggotai majlis tersebut dari 1998 hingga 2014.

ITU merupakan sebuah agensi khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab mengenai isu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, Encik Annuar turut bertukar-tukar pandangan dengan Pengerusi Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC), Dr Sarana Boonbaichaiyapruck mengenai pelancaran teknologi 5G di Malaysia dan Thailand.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan