ASEAN harap pelantikan duta khas ke Myanmar dimuktamadkan minggu depan
Pelantikan duta khas ke Myanmar dijangka dimuktamadkan di Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN minggu depan.

(Gambar fail: BERNAMA)
BANGKOK: Pelantikan duta khas ke Myanmar dijangka dimuktamadkan di Mesyuarat Menteri Luar Negeri ASEAN minggu depan.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal ASEAN, Kementerian Luar Thailand, Usana Berananda, berkata tiga calon sudah dikenal pasti. Brunei, selaku pengerusi ASEAN, sudahpun menyerahkan senarai nama itu kepada Myanmar.
"Kami difahamkan Myanmar telah memberikan maklum balas positif. Kami berharap pelantikan itu dapat dimuktamadkan semasa Mesyuarat Menteri ASEAN/Persidangan Selepas Mesyuarat Menteri minggu depan.
Duta khas itu berperanan sebagai perantara untuk proses dialog bagi mencari jalan keluar terhadap konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari yang menggulingkan pemerintahan Aung San Suu Kyi.
Antara calon itu ialah diplomat veteran Thailand dan bekas timbalan menteri luar, Virasakdi Futrakul.
Laporan media baru-baru ini mengatakan dua lagi calon ialah bekas Menteri Luar Indonesia Hassan Wirajuda dan Encik Razali Ismail dari Malaysia, yang sebelum ini berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar.
"Selepas utusan khas dilantik, mandat akan berdasarkan kesepakatan lima perkara yang disepakati pemimpin ASEAN pada Mesyuarat Khas di Jakarta, Indonesia, pada April," katanya di sidang media maya pada Jumaat (30 Jul).
Kesepakatan itu antara lain menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar, dialog membina antara semua pihak, pelantikan duta khas sebagai perantara, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan duta khas akan melawat Myanmar serta bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.
Tiga bulan selepas kesepakatan itu dicapai, keadaan di Myanmar bertambah buruk ekoran tunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa, menyaksikan lebih 900 orang dilaporkan terbunuh. Keadaan itu diburukkan lagi dengan peningkatan kes dan kematian COVID-19.
Usana berkata Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA) dan Sekretariat ASEAN sudahpun membuat persediaan awal untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.
"Thailand akan menyumbang bekalan perubatan melalui Pusat AHA ke Myanmar. Kami bekerjasama rapat dengan Myanmar dan Pengerusi ASEAN, Brunei," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.