Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ASEAN bidas Myanmar atas kekurangan kemajuan hurai krisis dalam negeri

Menteri-menteri Asia Tenggara pada Jumaat (5 Ogos) mengutuk kekurangan kemajuan dalam penyelesaian krisis Myanmar yang dihimpit rampasan kuasa. Mereka menuntut junta negara itu supaya mengambil tindakan sebelum sidang puncak serantau diadakan pada lewat tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN bidas Myanmar atas kekurangan kemajuan hurai krisis dalam negeri

Gambar: Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur

Diterbitkan : 06 Aug 2022 12:30PM Dikemas Kini : 06 Aug 2022 12:30PM
PHNOM PENH: Menteri-menteri Asia Tenggara pada Jumaat (5 Ogos) mengutuk kekurangan kemajuan dalam penyelesaian krisis Myanmar yang dihimpit rampasan kuasa. Mereka menuntut junta negara itu supaya mengambil tindakan sebelum sidang puncak serantau diadakan pada lewat tahun ini.

Myanmar dibelenggu keadaan kucar-kacir sejak rampasan kuasa pada Februari tahun lalu. Angka korban akibat tindakan keras yang kejam oleh tentera terhadap perbezaan pendapat sudahpun melepasi 2,100, menurut sebuah kumpulan pemerhati tempatan.

Kemarahan meluap-luap dalam kalangan beberapa negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) terhadap tindakan para jeneral tentera Myanmar, terutama sekali selepas hukuman mati dikenakan ke atas empat banduan termasuk dua tokoh pro-demokrasi yang terkenal.

Perkumpulan 10 negara anggota itu mengeluarkan satu kenyataan bersama menyusuli perbincangan menteri-menteri luar di Phnom Penh.

Para menteri berkata mereka "amat kecewa dengan kekurangan kemajuan serta komitmen di pihak berkuasa Naypyidaw untuk melaksanakan sepenuhnya serta tepat pada masanya konsensus lima perkara".

Dalam satu amaran kepada junta Myanmar, kenyataan tersebut - merujuk kepada Artikel 20 Piagam ASEAN - menarik perhatian mesyuarat para pemimpin pada lewat tahun ini mungkin akan mengambil tindakan terhadap "ketidakpatuhan" Myanmar.

Keputusan ASEAN biasanya berdasarkan kata sepakat, namun Artikel 20 membenarkan sidang puncak untuk menolak prinsip tersebut.

Pada lewat Jumaat, Kementerian Ehwal Luar Myanmar "menangkis" kenyataan ASEAN tentang kurangnya kemajuan yang dicapai bagi rancangan huraian krisis yang dipersetujui dengan persatuan itu pada April lalu.

"Myanmar yakin ASEAN boleh mengekalkan perpaduan dan ketelusannya dalam jangka panjang hanya jika semua negara anggota ASEAN menghormati... kedaulatan serta tidak campur tangan dalam ehwal dalam negeri" anggotanya, tambahnya.

Diplomat tertinggi junta, Encik Wunna Maung Lwin, tidak diundang ke Phnom Penh dan dipinggirkan daripada retreat menteri-menteri luar pada Februari.

Sementara itu, ketua junta Min Aung Hlaing pula mendapat cemuhan di sidang puncak para pemimpin tersebut pada tahun lalu.

Menurut kenyataan pada Jumaat, utusan khas ASEAN ke Myanmar mesti dibenarkan bertemu dengan "semua pihak berkepentingan yang berkaitan" - menarik perhatian kepada keputusan junta tentera untuk menyekat akses kepada Aung San Suu Kyi yang ditahan.

Pemenang Hadiah Nobel dan ikon demokrasi itu berdepan pelbagai tuduhan yang boleh menyebabkannya dipenjarakan selama lebih 150 tahun.

Pada Jumaat, menteri-menteri juga mengadakan perbincangan tentang keselamatan serantau bersama rakan-rakan sejawatan dari Amerika Syarikat, China, Rusia, Jepun dan Australia di Sidang Puncak Asia Timur.
 
Sumber : AFP/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa