Skip to main content

Dunia

ASEAN akan runding pelantikan pemerhati pilihan raya Myanmar di sidang puncak Oktober

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN akan runding pelantikan pemerhati pilihan raya Myanmar di sidang puncak Oktober

Seorang anggota polis di Yangon. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 11 Oct 2025 02:05PM Dikemas Kini : 11 Oct 2025 02:06PM
KUALA LUMPUR: Junta Myanmar mengundang Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menghantar beberapa pemerhati bagi pilihan raya yang dirancang diadakan pada hujung tahun ini.

Blok itu juga akan membincangkan permintaan tersebut semasa sidang puncak serantau pada akhir bulan ini, menurut Kementerian Luar Malaysia.

Undangan untuk menghantar pemerhati pilihan raya tersebut sudah disampaikan kepada semua negara anggota ASEAN, menurut kementerian itu dalam kenyataannya pada Jumaat malam (10 Okt).

"Menteri luar itu sedia maklum tentang undangan yang disampaikan kepada anggota negara ASEAN untuk menghantar beberapa pemerhati pilihan raya. Bagi Malaysia, undangan itu ditujukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia," kata kementerian itu.

Kenyataan itu tidak merujuk kepada laporan media Myanmar pada Jumaat, bahawa Malaysia akan menghantar pasukan pemerhati untuk pilihan raya umum itu, yang akan diadakan secara berperingkat bermula 28 Disember.

Pengumuman itu dibuat selepas perbincangan diadakan antara ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan di ibu negara Myanmar, Naypyitaw pada Khamis.

Myanmar bergelut dengan pergolakan sejak rampasan kuasa tentera berlaku pada 2021, yang sekali gus menggulingkan pemerintah Aung San Suu Kyi dan mencetuskan pemberontakan bersenjata, yang menyebabkan sebahagian besar negara itu terlepas daripada kawalan junta.

Kedua-dua Malaysia dan Myanmar merupakan anggota ASEAN, yang menghalang pemimpin tentera Myanmar daripada menghadiri mesyuaratnya sejak 2022, atas sebab kegagalannya untuk melaksanakan pelan damai lima perkara yang dipersetujui oleh jeneral tertinggi.

Malaysia merupakan pengerusi ASEAN buat masa ini, yang juga merangkumi Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Pilihan raya Myanmar akan diadakan di tengah-tengah perang saudara yang memuncak, dengan kumpulan pembangkang utama dilarang bertanding serta undang-undang pilihan raya baharu yang memihak kepada parti-parti yang disokong tentera.
 
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita