Asal gelaran 'Haji' ternyata warisan Kolonial Belanda
Paparan hiasan perjalanan ke tanah suci pada abad ke-17. (Gambar: Janaan AI)
JAKARTA: Umat Islam di Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei dan sejagat yang sudah selesai menunaikan ibadah haji biasanya diberi gelaran 'Haji' atau 'Hajjah'. Gelaran 'Haji' ini tersemat secara tidak tertulis di depan nama asal.
Namun persoalannya, mengapa gelaran 'Haji' ini tidak terpakai di banyak negara Islam luar Asia?
"Haji" berasal daripada bahasa Arab "ḥajj" (ØØ¬Ù‘), yang berarti "menyengaja" atau "berziarah", khususnya ke Baitullah (Ka'bah) di Makkah. Ibadah ini wajib bagi setiap Muslim yang mampu secara zahir dan kewangan.
Secara umum, gelaran 'Haji' tidak diiktiraf mahupun begitu dikenali di negara-negara sekeliling dunia. Gelaran ini hanya popular dalam alam Melayu dan digunapakai sekian lama. Sejarahnya malah cukup panjang, bahkan sejak abad ke-17.
ASAL USUL GELARAN HAJI DI INDONESIA
Menurut laman web Kementerian Agama Indonesia (Kemenag), perjalanan untuk menunaikan ibadah haji pada masa dahulu sangatlah berat.
Perjalanan dari tanah air masing-masing menuju ke Tanah Suci Makkah mengambil masa berbulan-bulan melalui jalan laut.
Ia dianggap berat kerana jemaah harus mengharungi badai lautan, menghindari lanun, meredah gurun pasir dan sebagainya. Maka itu, setiap jemaah haji dari Tanah Melayu yang berhasil menunaikan ibadah haji di Makkah dan pulang dengan selamat, dianggap mendapat anugerah dan kehormatan.
Dari sudut lain, jemaah yang kembali dari Tanah Suci bukan sahaja hanya orang yang sudah menunaikan ibadah haji.
Sejak zaman kesultanan Islam di Nusantara, ramai ulama dan tokoh masyarakat mengejar ilmu sehingga ke Makkah atau Madinah untuk memperdalam ilmu agama Islam, seperti yang ditukil daripada laman detikHikmah.
Atas sebab itu, muncullah gelaran 'Haji', asalnya sebagai tanda bahawa seseorang itu sudah memperoleh ilmu dan pengesahan keagamaan dari pusat Islam dunia (di Tanah Arab).
Kedua, gelaran itu menandakan bahawa seseorang sudah menunaikan ibadah haji.
GELARAN ATAU LABEL?
Pemberian gelaran 'Haji' dan 'Hajjah' ini semakin popular pada zaman kolonial Belanda. Pada ketika itu, penjajah Belanda takut akan keberadaan ulama-ulama dari Makkah kerana dianggap mampu mengancam politik di tanah air (Indonesia).
Mengapa? Sebab ramai yang kembali dari Makkah dianggap merangsang semangat perjuangan menentang penjajahan. Selain itu, ia juga mampu mempengaruhi masyarakat secara lebih meluas.
Oleh kerana itu, penjajah Belanda mendapat akal lalu melaksanakan satu taktik untuk membezakan penduduk Indo-Belanda yang kembali daripada menunaikan Haji. Mereka juga membuka Konsulat Jeneral pertama di Arab Saudi pada 1872.
KOMPLOT PENJAJAH BELANDA
Taktik Belanda bukan kebetulan semata-mata. Sebab, pada masa itu, tokoh-tokoh besar bergelar 'Haji' terbukti mempelopori badan-badan besar di Nusantara.
Dalam kalangan mereka termasuk KH Samanhudi yang mendirikan Syarikat Dagang Islam (SDI) pada 1905, KH Ahmad Dahlan yang mendirikan Muhammadiyah pada 1912, HOS Tjokroaminoto yang mendirikan Syarikat Islam (SI) pada 1912, hingga ke KH Hasyim Asy'ari yang mendirikan Nahdlatul Ulama pada 1926.
PERKEMBANGAN GELARAN HAJI
Meskipun popular sejak zaman kolonial Belanda, penggunaan gelaran 'Haji' tetap dipakai selepas Indonesia merdeka. Gelaran tersebut, bahkan bertahan hingga saat ini.
Namun, tidak seperti dahulu, gelaran 'Haji' sudah berkembang luas. Kementerian Agama Indonesia menjelaskan adanya perspektif lain, seperti kebudayaan.
Dalam konteks budaya, semakin ramai tokoh-tokoh masyarakat yang memiliki gelaran 'Haji'. Hal ini kemudian dianggap bahawa gelaran tersebut dimiliki oleh insan yang memegang status sosial yang tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.