Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AS$10 bilion untuk bangunkan semula sistem kesihatan Gaza: WHO

Anggaran Waktu Membaca:
GENEVA: Sekurang-kurangnya AS$10 bilion (S$13.67 bilion) mungkin diperlukan untuk membangunkan semula sistem kesihatan Gaza yang musnah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang, menurut penilaian awal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis (16 Jan).

"Keperluannya adalah besar," kata wakil agensi kesihatan PBB di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn, kepada pemberita.

Dengan gencatan senjata akhirnya tercapai, pihak kemanusiaan menyeru ditingkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Encik Peeperkorn berkata anggaran awal pasukannya mengenai kos untuk membina semula hanya sektor kesihatan ialah "lebih daripada AS$3 bilion untuk 1.5 tahun pertama dan kemudian AS$10 bilion untuk lima hingga tujuh tahun".

"Di Gaza, kita semua tahu kemusnahannya sangat besar. Saya tidak pernah melihat keadaan seumpamanya di tempat lain dalam hidup saya," katanya.

Sementara itu, Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata "kurang daripada separuh hospital Gaza berfungsi".

Beliau mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata Israel dan Hamas sebagai "satu berita terbaik", sambil menyuarakan harapan bahawa "perjanjian ini menandakan berakhirnya bab paling gelap dalam sejarah hubungan antara Israel dan Palestin".

"Kami mengalu-alukan berita ini dengan rasa sangat lega, tetapi juga dengan kesedihan kerana sudah terlambat bagi mereka yang terkorban dalam konflik," katanya.

Namun beliau juga menerima beritu itu dengan "berhati-hati, memandangkan kami telah mengalami 'harapan palsu' sebelum ini, dan perjanjian itu belum disahkan".

“Jika kedua-dua pihak komited dengan gencatan senjata, ia harus dimulakan segera,” katanya. "Sebaik-baik ubat adalah kedamaian".

"Jadi, biarkan penyembuhan bermula, bukan sahaja untuk Gaza, tetapi untuk Israel juga. Ini adalah demi kepentingan semua orang."

Encik Peeperkorn berkata WHO bersedia untuk "meningkatkan sokongannya dengan cepat" di wilayah itu.

"Apa yang penting ialah dihapuskan halangan politik untuk menyampaikan bantuan di seluruh Gaza," katanya.

"Kami memerlukan akses yang cepat, tanpa halangan dan selamat untuk mempercepatkan aliran bantuan ke Gaza dan seluruh wilayah itu."
Sumber : AFP/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan