Skip to main content

Dunia

Artis luar negara dilarang buat konsert, persembahan pada hari cuti umum Islam di M'sia mulai 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Artis luar negara dilarang buat konsert, persembahan pada hari cuti umum Islam di M'sia mulai 2024

(Gambar: Facebook/PR Worldwide)

Diterbitkan : 15 Mar 2023 11:49PM
PETALING JAYA: Artis luar negara tidak lagi dibenarkan untuk mengadakan konsert berskala besar serta persembahan secara langsung sehari sebelum dan pada hari cuti umum Islam mulai 2024, mengikut garis panduan baru.

Garis panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Persembahan Filem Dan Persembahan Artis Luar (PUSPAL) menyenaraikan secara khusus hari-hari peristiwa di mana acara-acara sedemikian tidak dibenar diadakan, lapor The Star.

Ia meliputi seluruh bulan Ramadan, Awal Muharram, Maulidur Rasul, Israk Mikraj, Nisfu Sya’ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Seorang anggota daripada pasukan perhubungan PUSPAL mengesahkan kepada Mediacorp pada Rabu (15 Mac) bahawa garis panduan itu sudah dikemas kini daripada versi dokumen sebelumnya yang diterbitkan pada 2019.

Beberapa peraturan yang dikemas kini mengenakan syarat lebih ketat kepada artis, manakala peraturan lain melonggarkan beberapa syarat untuk membuat konsert dan persembahan secara langsung di Malaysia, lapor The Star.

Artis lelaki dari luar negara juga dilarang daripada berpakaian menyerupai perempuan semasa membuat persembahan di Malaysia.

Selain itu, garis panduan PUSPAL menyatakan bahawa artis wanita warga asing dilarang memakai pakaian yang "mendedahkan bahagain dada" atau yang "terlalu singkat di atas paras lutut".

Sementara itu, persembahan akan dibenarkan pada Ogos dan September, kecuali pada 30 dan 31 Ogos, serta 15 dan 16 September, untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Sebelum ini, artis luar tidak dibenarkan membuat persembahan dari 25 Ogos hingga 16 September, lapor The Star.

Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil dilaporkan berkata semua pihak berkepentingan serta masyarakat sudah dirujuk mengenai garis panduan baru itu dan ia akan dikuatkuasakan pada 2024.

Beliau menambah libat urus dengan pihak berkepentingan akan diteruskan dan garis panduan itu akan dikemas kini kali kedua sebelum dilaksanakan tahun depan.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita