Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arema FC sedia bertanggungjawab atas tragedi rusuhan bola sepak

Kelab Bola Sepak Arema FC akan bertanggungjawab ke atas mangsa kejadian rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur, Indonesia sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 individu terkorban.

Anggaran Waktu Membaca:
Arema FC sedia bertanggungjawab atas tragedi rusuhan bola sepak

Seorang budak lelaki dibawa keluar sedang anggota tentera Indonesia mengepung padang menyusuli perlawanan bola sepak antara Arema FC dengan Persebaya Surabaya di Malang, Jawa Timur, pada 1 Okt 2022. (Gambar: STR/AFP)

KUALA LUMPUR: Kelab Bola Sepak Arema FC akan bertanggungjawab ke atas mangsa kejadian rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur, Indonesia sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 individu terkorban.

Pengerusi Jawatankuasa Arema FC, Abdul Haris dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan membentuk sebuah pasukan Pusat Informasi Korban bagi menerima laporan serta menguruskan mangsa yang dirawat di hospital.

"Pengurusan Arema FC menyampaikan rasa duka kepada mangsa-mangsa korban dalam kejadian rusuhan di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang pada Sabtu (1 Okt).

"Pihak pengurusan turut bertanggungjawab untuk mengendalikan korban sama ada yang telah meninggal dunia dan sedang dirawat," kata Abdul Haris dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman web kelab tersebut hari ini (2 Okt).

Menurut Abdul Haris, Arema FC sudah memohon maaf kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat tragedi berkenaan.

Katanya lagi, pihaknya sedia berjumpa dengan ahli keluarga mangsa dan menerima cadangan dalam menguruskan pasca musibah agar lebih ramai dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam hantaran di Twitter menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi rusuhan berkenaan.

Awal dari itu, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan sekurang-kurangnya 129 orang terbunuh termasuk dua anggota polis, manakala 180 cedera akibat rempuhan ketika berlaku rusuhan menyusuli perlawanan bola sepak di Jawa Timur.

Insiden itu disifatkan sebagai salah satu bencana terburuk dalam arena bola sepak dunia.

Memetik Kompas.com, Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta berkata penyokong Arema meluru ke padang selepas pasukan mereka tewas kepada Persebaya Surabaya, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan ketegangan.

Sungguhpun demikian, difahamkan bahawa gas pemedih mata yang dilepaskan turut menyebabkan sesetengah penyokong cuba mengelakkannya sehingga berlaku rempuhan dan terpijak penonton lain.

Selain itu, ramai penyokong dilapor mengalami sesak nafas.

Rusuhan berlarutan sehingga ke luar stadium dengan sekurang-kurangnya lapan kenderaan polis mengalami kerosakan.

Menyusuli kejadian tersebut, Arema FC dilarang daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim Liga 1 bagi 2022/2023.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan