Arahan Trump berkait atlet transgender langgar norma antarabangsa
Keputusan Presiden Trump untuk mengecualikan kanak-kanak perempuan dan wanita transgender daripada sukan wanita mencetuskan pertikaian yang dijangka panjang dan rumit dengan pihak berkuasa sukan global.

Trump menyatakan bahawa beliau tidak akan membenarkan atlet transgender bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 2028. (Gambar: Luis ROBAYO/AFP)
Dengan keputusan itu, Jabatan Kehakiman diarah untuk memastikan bahawa agensi-agensi pemerintah Amerika menguatkuasakan larangan ke atas penyertaan kanak-kanak perempuan dan wanita transgender dalam sukan sekolah bagi wanita,
berdasarkan tafsiran Trump ke atas undang-undang yang melarang diskriminasi jantina dalam pendidikan, yang disebut sebagai Title IX.
Trump juga menyatakan bahawa beliau tidak akan membenarkan atlet transgender bertanding di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan menggesa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk mengubah perkara yang disebutnya sebagai “tidak masuk akal”.
Arahan ini mungkin mendapat pujian daripada penyokongnya yang berpendapat bahawa ia dapat mengembalikan keadilan dalam sukan wanita.
Namun, tiada sokongan segera diterima daripada organisasi antarabangsa yang telah lama bergelut dengan isu kontroversi ini.
Sebaliknya, arahan itu berkemungkinan mencetuskan semula perdebatan antara IOC dan pelbagai persekutuan sukan antarabangsa mengenai isu tersebut dalam konteks sukan elit.
Pada masa sama, ia mendedahkan perbezaan besar dalam peraturan yang diguna pakai, di mana IOC secara tegas enggan menetapkan peraturan universal bagi temasya Olimpik.
IOC dengan tegas menolak untuk menetapkan peraturan universal bagi Sukan Olimpik. Sebaliknya, pada 2021, IOC mengarahkan setiap persekutuan sukan antarabangsa untuk menetapkan peraturan mereka yang tersendiri. Beberapa jenis sukan, termasuk olahraga, sukan renang dan ragbi, telah melakukan sedemikian.
Namun banyak lagi yang masih belum memuktamadkan sebarang dasar mengenai isu tersebut.
IOC mengeluarkan kenyataan berkecuali sebagai maklum balas terhadap arahan Presiden Trump. “Menerusi kerjasama sesama persekutuan sukan antarabangsa yang berkaitan, IOC akan terus menerangkan dan membincangkan pelbagai isu dengan pihak berkuasa yang relevan,” kata jurucakap IOC.
Ramai pemerhati kecewa dengan arahan Trump kerana ia seolah-olah menyamakan atlet transgender dengan atlet yang mempunyai “perbezaan perkembangan seksual” atau DSD.
Atlet DSD memiliki kombinasi genom, hormon dan organ pembiakan yang kadangkala tidak sejajar dengan norma jantina mereka. Bagi wanita, keadaan ini menyebabkan tubuh mereka secara semula jadi menghasilkan lebih banyak testosteron, yang memberikan kelebihan fizikal secara ketara dalam perkembangan dan prestasi sukan.
KONTROVERSI SUKAN OLIMPIK DI PARIS
IOC, yang pada masa ini membenarkan atlet transgender bertanding dalam Sukan Olimpik menjadi tumpuan kontroversi berkenaan jantina pada 2024 apabila dua petinju wanita DSD meraih pingat emas.
Dalam ucapannya, Encik Trump menyebut kemenagan salah seorang daripada mereka iaitu Imane Khelif dari Algeria, dan memanggil beliau seorang “petinju lelaki”.
"Siapa boleh lupakan Olimpik Paris tahun lalu, di mana seorang petinju lelaki merampas pingat emas wanita selepas mencederakan lawannya dengan begitu ganas sehingga dia terpaksa menarik diri selepas 46 saat, sedangkan dia adalah petinju kejuaraan," kata Encik Trump.
Kemenangan paling berkontroversi Khelif adalah ketika beliau menentang Angela Carini dari Itali, yang menyerah kalah dalam tempoh kurang daripada seminit, dengan alasan dia tidak pernah dipukul sekuat itu.
Khelif, yang sentiasa bertanding sebagai wanita, diharamkan daripada menyertai Kejohanan Dunia 2023 selepas ujian kromosom seks yang dijalankan oleh Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBA) mendapati dirinya tidak layak.
Pengiktirafan IBA kemudiannya dilucutkan gara-gara isu tadbir urus, dan IOC mengambil alih pengurusan sukan tinju di Paris. IOC kemudian membenarkan Khelif bertanding, dengan menyatakan bahawa dia dilahirkan sebagai wanita dan telah lama bertanding dalam kategori wanita.
PENYERTAAN DALAM SUKAN OLIMPIK
Sukan Olimpik mula membenarkan atlet transgender bertanding sejak 2004. Atlet angkat berat dari New Zealand, Laurel Hubbard, menjadi yang pertama berbuat sedemikian di Tokyo 2021.
Sejak itu, hanya segelintir atlet transgender menyusul. Akan tetapi, atlet DSD sudah lama mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik. Misalnya, pelari jarak sederhana Afrika Selatan, Caster Semenya, merupakan atlet yang paling dikenali.
Kejayaan bekas juara Olimpik itu menyebabkan pembaharuan terhadap peraturan yang ditkenakan. Beliau dan atlet DSD lain dikehendaki menurunkan kadar testosteron secara perubatan untuk bertanding sebagai wanita. Sekatan ini mencetuskan pertikaian selama lebih sedekad. Rayuan di mahkamah-mahkamah antarabangsa serta Eropah turut dibuat. Namun, atlet DSD secara amnya masih dilarang bertanding dalam sukan olahraga.
Secara teori, arahan Encik Trump dijangka memberi kesan minimum ke atas Sukan Olimpik 2028. Ini kerana ia tidak menerima sebarang dana persekutuan dari Amerika, dan pihak IOC kekal tegas dalam mengendalikan Sukan Olimpik tanpa campur tangan politik.
Walau bagaimanapun, Encik Trump jarang mengikutkan keadaan sedia kala dalam pelbagai perkara dan telah memberi isyarat bahawa beliau sedia untuk campur tangan, termasuk dengan menolak visa kemasukan.
Menurut arahan daripada Encik Trump, Setiausaha Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri boleh "menyemak dan menyesuaikan, jika perlu, dasar kemasukan ke Amerika Syarikat bagi lelaki yang ingin bertanding dalam sukan wanita."
"Jika anda memasuki negara ini dan mendakwa sebagai wanita tetapi sebenarnya lelaki yang mahu bersaing dengan wanita, kami akan meneliti perkara itu atas kemungkinan bahawa ia adalah satu penipuan," kata seorang pegawai pentadbiran kepada wartawan.
Pendekatan seperti ini berpotensi mencetuskan ketegangan dengan IOC, dan arahan Encik Trump serta kesannya dijangka menjadi topik utama bagi tujuh calon yang bersaing menggantikan Thomas Bach sebagai presiden IOC pada Mac nanti.
Sesetengah calon, seperti ketua World Athletics, Sebastian Coe, mahu IOC memimpin dalam menetapkan dasar yang jelas untuk "melindungi sukan wanita," sebagaimana yang dilakukan oleh persekutuannya. Namun, ada juga yang berpendapat lebih banyak bukti saintifik diperlukan sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
Setakat ini, tiada calon mencadangkan larangan terhadap atlet transgender di temasya Sukan Olimpik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.