Skip to main content

Dunia

Arab Saudi umum kod etika pakaian bagi jemaah umrah wanita

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi umum kod etika pakaian bagi jemaah umrah wanita

Gambar: AFP

Diterbitkan : 17 Sep 2023 11:32PM

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan kod etika pemakaian bagi jemaah wanita yang menunaikan ibadah Umrah.


Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menggariskan pakaian yang dianggap sesuai bagi kaum wanita untuk mengunjungi tapak-tapak suci.

Kementerian itu menyatakan bahawa wanita dibenarkan memakai pakaian pilihan mereka semasa menunaikan ibadah, selagi mana ia mematuhi garis panduan tertentu.

Dalam satu kenyataan di media sosial, kementerian tersebut menyatakan bahawa kaum wanita perlu memastikan pakaiannya "longgar, tiada perhiasan dan menutup sepenuhnya badan wanita (aurat)" dalam mereka memakai pakaian pilihan mereka ketika menunaikan ibadah Umrah.

Peraturan itu diketengahkan semula ketika terdapat kenaikan dalam jumlah jemaah pada musim umrah ini.

Arab Saudi menjangkakan kira-kira 10 juta umat Islam dari pelbagai negara akan menunaikan umrah di Masjidil Haram, yang bermula sejak dua bulan lalu.

Musim itu bermula selepas berakhirnya ibadah haji yang disempurnakan kira-kira 1.8 juta umat Islam, buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun selepas sekatan akibat pandemik COVID-19 ditarik balik.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Arab Saudi menyediakan pelbagai kemudahan untuk umat Islam mengerjakan umrah, termasuk kelonggaran visa.

Umat Islam yang memegang visa peribadi, lawatan dan pelancong dibenar untuk mengerjakan umrah dan melawat Al Rawda Al Sharifa, tempat letaknya makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi menerusi tempahan online.

Pihak berkuasa Saudi juga melanjutkan visa umrah daripada 30 hari kepada 90 hari dan membenarkan pemegangnya memasuki negara melalui semua saluran darat, udara dan laut serta keluar dari mana-mana lapangan terbang.

Selain itu, jemaah wanita tidak lagi perlu diiringi mahram lelaki dan kerajaan itu membenarkan ekspatriat yang menetap di negara Majlis Kerjasama Teluk untuk memohon visa pelancong tanpa mengira profesion dan boleh menunaikan umrah.

Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita