Skip to main content

Dunia

Arab Saudi, UAE, Qatar sambut Aidilfitri pada 20 Mac

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi, UAE, Qatar sambut Aidilfitri pada 20 Mac
Pettit memuat naik gambar dengan kapsyen: Pemandangan orbit Makkah, Arab Saudi. Titik terang di tengah ialah Kaabah, tapak paling suci umat Islam, kelihatan walaupun dari angkasa. (Gambar: Don Pettit/BERNAMA)
Diterbitkan : 19 Mar 2026 01:09PM Dikemas Kini : 19 Mar 2026 01:14PM
KUALA LUMPUR: Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar akan menyambut Aidilfitri pada Jumaat (20 Mac).

Istana Diraja Arab Saudi dalam satu kenyataan pada Rabu (18 Mac) mengumumkan bahawa Mahkamah Agung memutuskan hari terakhir Ramadan di negara itu jatuh pada Khamis (19 Mac), manakala 1 Syawal disambut pada Jumaat, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Sementara itu, Istana Presiden UAE turut membuat pengumuman serupa yang menyatakan Khamis merupakan hari terakhir bagi bulan suci Ramadan di negara tersebut, lapor Agensi Berita Amiriah (WAM).

Menurut kenyataan Istana Presiden, berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan bagi bulan Syawal 1447 Hijrah yang bersidang pada Rabu malam di Abu Dhabi, serta penelitian laporan pencerapan di seluruh negara, anak bulan Syawal tidak kelihatan pada malam itu.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Pencerapan Anak Bulan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Qatar turut mengumumkan Khamis sebagai hari ke-30 dan terakhir bagi bulan Ramadan, manakala Aidilfitri jatuh pada Jumaat (20 Mac).

Jawatankuasa itu memaklumkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat di ibu pejabat kementerian itu pada Rabu malam (18 Mac) bersamaan 29 Ramadan 1447 Hijrah, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita