Skip to main content

Dunia

Arab Saudi tolak laporan pakar PBB berhubung pembunuhan Khashoggi

Menteri negara ehwal luar Arab Saudi pada Rabu (19 Jun) menolak laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan beberapa pegawai kanan lain bertanggungjawab ke atas pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi tolak laporan pakar PBB berhubung pembunuhan Khashoggi

Gambar fail menteri negara ehwal luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir (kiri) (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 20 Jun 2019 10:17AM Dikemas Kini : 20 Jun 2019 10:20AM

RIYADH: Menteri negara ehwal luar Arab Saudi pada Rabu (19 Jun) menolak laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman dan beberapa pegawai kanan lain bertanggungjawab ke atas pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

"Tiada yang baru... pelapor majlis hak asasi manusia mengulangi dalam laporannya yang tidak mengikat dari segi undang-undang, apa yang sudah diterbitkan dan disebarkan media," tulis Encik Adel al-Jubeir menerusi Twitter.

Laporan tersebut "mengandungi pencanggahan jelas dan tuduhan tidak berasas yang membuat kewibawaannya dipersoalkan," tambah beliau.

Cik Agnes Callamard, pelapor khas PBB berhubung hukuman pembunuhan luar sistem keadilan, merumuskan bahawa pembunuhan Allahyarham Khashoggi disengajakan dan dirancang namun tidak menuduh mana-mana pihak. Laporan beliau adalah berdasarkan rakaman dan siasatan forensik oleh penyiasat Turki dan maklumat daripada perbicaraan suspek di Arab Saudi.

Perbicaraan patut digantung atas kebimbangan berlakunya perbicaraan tidak telus dan kemungkinan keadilan tidak dapat ditegakkan.

Encik al-Jubeir turut menolak terdapat sebarang percubaan untuk mempengaruhi perbicaraan atau mengecualikannya daripada proses kehakiman Arab Saudi.

Dalam kenyataan berasingan yang diterbitkan agensi berita negara SPA, beliau mendakwa laporan itu mengandungi "tuduhan palsu yang disahkan datang daripada tanggapan dan pendirian Callamard terhadap Saudi". Beliau menambah, Riyadh berpegang kepada haknya untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai tindak balas terhadap dakwaan tersebut.

Allahyarham Khashoggi, seorang penulis ruang bagi Washington Post yang juga adalah pengkritik paling lantang terhadap putera mahkota Arab Saudi, dibunuh dalam bangunan kedutaan Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober oleh para pegawai Arab Saudi.

Pembunuhannya mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa dan mencemarkan imej putera tersebut.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita