Skip to main content

Dunia

Arab Saudi tetapkan tarikh tutup 14 Feb untuk kontrak perkhidmatan haji

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi tetapkan tarikh tutup 14 Feb untuk kontrak perkhidmatan haji

(Gambar: AFP/Abdel Ghani Bashir)

Diterbitkan : 21 Jan 2025 12:13AM Dikemas Kini : 21 Jan 2025 12:20AM
JEDDAH - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan 14 Februari adalah tarikh akhir bagi pejabat urusan haji di pelbagai negara untuk memuktamadkan kontrak perkhidmatan berkaitan Musim Haji 1446H, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Kementerian itu menegaskan kontrak ini harus diselesaikan melalui platform Nusuk Masar, yang ditentukan untuk jemaah haji dari luar negara dan menyediakan garis masa terperinci untuk tugas yang perlu dilaksanakan oleh pejabat urusan haji, yang merangkumi lapan fasa utama.

Bagi memastikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah, Kementerian Haji dan Umrah menekankan kepentingan mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak berkuasa berkenaan di Arab Saudi, termasuk syarat pengangkutan udara dan darat.

Kementerian juga menggesa pematuhan terhadap garis panduan keselamatan, kesihatan dan prosedur yang dinyatakan dalam perjanjian haji antara kementerian dan pejabat berkenaan di pelbagai negara.

Selepas tarikh akhir ini, tiada kontrak tambahan akan diterima dan kuota sebenar untuk jemaah dari pelbagai negara akan ditentukan. Proses pengeluaran visa akan dimulakan sebaik sahaja selepas itu.

Kementerian itu turut meminta pejabat haji untuk mendidik jemaah mengenai keperluan mengikuti peraturan dan arahan haji, bagi memastikan mereka memperoleh visa dan permit melalui saluran rasmi.

Jemaah juga diwajibkan membawa dokumen pengenalan diri mereka, seperti Kad Nusuk, sebaik sahaja mereka tiba di Arab Saudi.
Sumber : Agensi berita/SK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita