Arab Saudi tarik balik syarat kuarantin bagi pelawat asing sudah divaksin
Arab Saudi mengumumkan pada Ahad (16 Mei) bahawa pelawat asing yang tiba dengan menaiki penerbangan dari kebanyakan negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin jika mereka sudah menerima vaksin bagi COVID-19.
(Gambar: Reuters)
LONDON: Arab Saudi mengumumkan pada Ahad (16 Mei) bahawa pelawat asing yang tiba dengan menaiki penerbangan dari kebanyakan negara tidak lagi perlu menjalani kuarantin jika mereka sudah menerima vaksin bagi COVID-19.
Para pelawat dari 20 negara lain - termasuk Amerika Syarikat, India, Britain, Jerman, Perancis dan Amiriah Arab Bersatu - bagaimanapun, masih dilarang daripada memasuki negara itu di bawah langkah-langkah untuk mengekang penularan koronavirus.
Penguasa penerbangan awam itu menyatakan mulai 20 Mei, para pelawat bukan warga Saudi yang sudah menerima vaksin dan tiba dari negara-negara yang dibenarkan masuk, atau pernah dijangkiti COVID-19 dan sudah pulih, tidak lagi perlu menjalani kuarantin tujuh hari di hotel diluluskan kerajaan selagi mereka boleh menunjukkan sijil vaksinasi rasmi sebaik tiba di negara itu.
Buat masa ini, semua pelawat yang tiba di negara itu perlu menjalani kuarantin untuk tempoh tujuh hingga 14 hari bergantung kepada negara-negara asal mereka, dan menyediakan keputusan negatif bagi ujian tindak balas berantai polimerase (PCR).
Di bawah peraturan baru, sesiapa yang berusia lapan tahun ke atas dan belum menerima vaksin mesti menjalani kuarantin sebaik tiba di Arab Saudi untuk tujuh hari dengan perbelanjaan dibiayai sendiri setakat 20 Mei dan menyediakan ujian negatif PCR pada hari keenam selepas ketibaan mereka, menurut penguasa penerbangan awam itu.
Mereka juga mesti mengemukakan polisi insurans kesihatan yang sah meliputi kemungkinan risiko COVID-19. Mereka juga perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR tidak lewat daripada 72 jam sebelum menaiki penerbangan ke Saudi.
Secara berasingan, menteri ehwal dalam negeri Saudi mengumumkan bahawa warga Saudi masih dilarang daripada melakukan perjalanan ke 13 negara melalui penerbangan langsung atau tidak langsung tanpa mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa disebabkan risiko COVID-19.
Negara-negara itu adalah: Libya, Syria, Lebanon, Yaman, Iran, Turki, Armenia, Somalia, Republik Demokratik Congo, Afghanistan, Belarus dan India.
Pada Februari, kerajaan Saudi menggantung kemasukan dari 20 negara, kecuali diplomat, warga Saudi, pengamal perubatan dan anggota keluarga mereka, bagi membantu membendung penularan koronavirus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.