Arab Saudi seru para pemimpin Teluk dan Arab adakan sidang tergempar
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Bin Salman berbincang dengan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo, mengenai usaha mengukuhkan keselamatan dan kemantapan di Timur Tengah, dalam satu panggilan telefon, pada Ahad (19 Mei).
RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad Bin Salman berbincang dengan Setiausaha Negara Amerika Mike Pompeo, mengenai usaha mengukuhkan keselamatan dan kemantapan di Timur Tengah, dalam satu panggilan telefon, pada Ahad (19 Mei).
Menteri Luar Saudi, Encik Adel al-Jubeir berkata pihaknya akan berusaha mengekang tercetusnya peperangan tetapi Riyadh sedia bertindak balas, untuk melindungi kepentingannya, sekiranya Iran memilih perang daripada diplomasi.
Perbincangan telefon antara Putera Mohammad dengan Encik Pompeo itu dibuat selepas bapanya, Raja Salman bagi Arab Saudi menyeru para pemimpin Teluk dan Arab, agar mengadakan sidang tergempar untuk membincangkan serangan-serangan ke atas kapal-kapal minyak Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), beberapa hari lalu.
Iran dan kumpulan-kumpulan militan yang disokong Tehran, dipersalahkan kerana kerosakan akibat letupan ke atas empat kapal komersil di perairan UAE.
Pihak berkuasa Saudi juga menyalahkan pemberontak Yaman yang disokong Iran, atas serangan-serangan dron di dua stesen pam minyak Saudi.
Para pelabur menyifatkan serangan-serangan tersebut sebagai ancaman paling serius kepada proses pengeluaran minyak Saudi, sejak sekian lama.
Satu sidang tergempar untuk membincangkan perkembangan tersebut dijadualkan di bandar Makkah, pada 30 Mei ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.