Skip to main content

Dunia

Arab Saudi saran jemaah guna panduan umrah & ziarah

Anggaran Waktu Membaca:
 Arab Saudi saran jemaah guna panduan umrah & ziarah

Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi. (Gambar hiasan: Canva)

Diterbitkan : 15 Jul 2026 11:04AM Dikemas Kini : 15 Jul 2026 11:18AM
MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menyarankan individu yang berhasrat menunaikan umrah dan menziarahi Masjid Nabawi supaya merujuk kepada “Panduan Umrah dan Ziarah” yang tersedia di laman web kementerian itu, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Bahan rujukan berkenaan menyediakan maklumat berkaitan ibadah dan pengurusan bagi membantu jemaah membuat persediaan serta melaksanakan umrah dan ziarah dengan lancar dan tenang.

Disediakan dalam 16 bahasa, ia merangkumi setiap peringkat termasuk persediaan sebelum berlepas, urusan visa, syarat kemasukan, ihram, pelaksanaan ibadah, pengangkutan, ziarah ke Masjid Nabawi dan prosedur pulang.

Maklumat disusun mengikut urutan bagi membolehkan jemaah dan pengunjung mendapatkan rujukan yang bersesuaian dengan setiap peringkat secara pantas.

Ia turut dilengkapi peta interaktif, pautan kepada kemudahan digital dan panduan visual bagi membantu pelaksanaan ibadah mengikut sunnah serta memudahkan penggunaan kemudahan yang disediakan.

Antara kandungannya ialah penerangan terperinci mengenai miqat, adab berihram, tawaf, sa’i, solat di Dua Masjid Suci dan adab menziarahi tempat suci.

Turut disertakan ialah arahan pengurusan, garis panduan kesihatan dan keselamatan, nombor telefon kecemasan serta pautan terus ke platform elektronik bagi mendapatkan maklumat rasmi terkini.

Menurut kementerian itu, penerbitan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kefahaman, menggalakkan pematuhan terhadap peraturan dan membantu jemaah menunaikan ibadah dengan lebih teratur serta tenteram.

Inisiatif itu juga mencerminkan usaha kementerian tersebut untuk terus meningkatkan mutu kemudahan bagi jemaah umrah dan pengunjung.
Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita