Skip to main content

Dunia

Arab Saudi pertingkat kesiapsiagaan 10 malam terakhir Ramadan santuni jemaah umrah

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi pertingkat kesiapsiagaan 10 malam terakhir Ramadan santuni jemaah umrah

(Gambar: AFP/Abdel Ghani BASHIR)

Diterbitkan : 09 Mar 2026 10:30PM Dikemas Kini : 09 Mar 2026 10:31PM
MAKKAH: Pihak berkuasa perbandaran Makkah dan Madinah telah menggerakkan lebih 18,000 kakitangan serta hampir 6,000 kenderaan operasi dan peralatan di bawah pelan operasi intensif sempena bermulanya 10 hari terakhir Ramadan.

Agensi Berita Arab Saudi (SPA) melaporkan, menerusi pelan ini Kementerian Perbandaran dan Perumahan telah mempertingkat kesiapsiagaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan ziarah, sekali gus membolehkan mereka beribadah dalam persekitaran yang selamat dan teratur.

Menurut pihak kementerian, pelan operasi itu merangkumi peningkatan kecekapan pembersihan kemudahan dan sanitasi persekitaran, pengukuhan infrastruktur serta perkhidmatan perbandaran dan menggiatkan pemeriksaan lapangan terhadap premis komersial dan makanan bagi memastikan mutu perkhidmatan terjamin sepanjang tempoh kesesakan tinggi di kedua-dua kota suci itu.

Pihak Berkuasa Perbandaran Suci Makkah telah menugaskan lebih 13,000 kakitangan yang bertugas sepanjang masa bagi menyokong aktiviti pembersihan dan operasi di kawasan pusat serta tapak sekitar Masjidil Haram.

Ia disokong oleh sistem kenderaan dan peralatan khusus bersepadu untuk mengekalkan kebersihan di lokasi padat serta memudahkan pergerakan jemaah umrah dan ziarah.

Selain itu, pihak perbandaran telah menyediakan lima tapak letak kenderaan dengan kapasiti melebihi 42,000 kenderaan sebagai sebahagian daripada sistem pengurusan trafik bersepadu bagi memudahkan akses ke Masjidil Haram dan mengurangkan kesesakan di kawasan pusat bandar.

Sementara itu di Madinah, pihak perbandaran mempertingkat kesiapsiagaan operasi melalui pelan menyeluruh yang meningkatkan kebersihan kemudahan dan sanitasi persekitaran, pemantauan keselamatan infrastruktur, dan menggiatkan pemantauan premis makanan bagi memastikan pematuhan syarat kesihatan serta keselamatan produk. Kempen di lapangan juga dijalankan bagi membanteras penipuan komersial dan mengawal penjaja jalanan.

Operasi lapangan di Madinah disokong oleh lebih 5,000 kakitangan serta lebih 1,230 kenderaan operasi dan peralatan, selain pengaktifan beberapa platform elektronik bagi mempercepat tindak balas terhadap laporan perkhidmatan perbandaran.

Kementerian tersebut menegaskan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada kerangka kerja bersepadu Kerajaan Arab Saudi untuk menyantuni jemaah umrah dan ziarah, serta memastikan tahap kesiapsiagaan operasi tertinggi di kota suci sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita