Skip to main content

Dunia

Arab Saudi pertimbang protokol kesihatan baru jelang Fasa 3 pembukaan semula umrah

Timbalan Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Amr Al Maddah berkata protokol kesihatan semasa fasa ketiga pembukaan semula ibadah umrah dan solat fardhu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sejak 1 November lalu, akan disemak semula.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Dec 2020 04:19PM Dikemas Kini : 07 Dec 2020 08:54PM

MAKKAH: Timbalan Setiausaha Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Amr Al Maddah berkata protokol kesihatan semasa fasa ketiga pembukaan semula ibadah umrah dan solat fardhu di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sejak 1 November lalu, akan disemak semula untuk menentukan jika ada keperluan untuk memperkenalkan langkah-langkah baru.

Dr Amr menekankan, jemaah yang hanya membuat permohonan untuk solat fardhu, tidak boleh melakukan umrah kerana kedua-dua ibadah itu diasingkan untuk jaga jarak selamat.

Untuk memastikan penularan COVID-19 dapat terus dibendung, pelbagai pengubahsuaian harus dilaksanakan demi kemaslahatan para jemaah dan juga orang awam yang lain.

Dalam pada itu, terdapat beberapa perubahan dalam pelaksanaan umrah dan solat di Masjidil Haram dalam suasana norma baru sekarang.

Sebelum seseorang boleh menjalankan ibadah umrah, permohonan harus dibuat menerusi aplikasi Eatamarna dan Tawakalna kendalian pihak berkuasa Saudi.

Perisytiharan kesihatan tentang bebas daripada COVID-19 di app Tawakalna diperlukan dulu sebelum permohonan untuk umrah atau solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, boleh dibuat.

Para jemaah boleh memilih enam slot umrah dan lima slot solat fardhu setiap hari, bergantung kepada tempat kosong yang ada.

Di bawah fasa ketiga, 20,000 tempat kosong ditawarkan untuk umrah dan lagi 60,000 tempat kosong untuk solat fardhu di Masjidil Haram.

Namun memandangkan sekarang cuti sekolah dan hujung tahun, permohonan hanya boleh dibuat untuk tempoh seminggu saja.

Dengan sistem tempahan lebih awal juga, pintu masuk untuk mengerjakan umrah dan solat juga harus ditentukan lebih awal semasa membuat permohonan untuk mendapat tasreh atau permit masuk.

Kini ada juga pilihan pengangkutan bergantung kepada pintu masuk yang dipilih.

Misalnya jika memilih pengangkutan bas untuk miqat umrah, tambangnya adalah SR3.50 (S$1.25) sehala berbanding sekitar SR50 (S$17.80) bagi tambang teksi.

Satu lagi perubahan yang diperkenalkan adalah jalur berjalan kaki yang khusus untuk memasuki Masjidil Haram.

PARA JEMAAH MENGELILINGI KAABAH IKUT LALUAN BERWARNA

Untuk memastikan para jemaah terus mengamalkan jarak selamat semasa bertawaf, mereka harus mengelilingi Kaabah mengikut laluan berwarna.

Setiap satu laluan tawaf berada sekitar tiga meter antara satu sama lain.

Untuk ibadah sai pula, kereta sorong dan skuter elektrik disediakan di lantai dasar dan bukan lagi di tingkat tiga seperti sebelum ini.

Selain itu, para jemaah diberikan waktu tiga jam untuk menyelesaikan kedua-dua ibadah tawaf dan sai di Masjidil Haram.

Untuk solat fardhu pula, para jemaah hanya dibenarkan memasuki tingkat satu Masjidil Haram untuk memastikan dasar lantai hanya dikhususkan untuk ibadah umrah saja.

Bagi memastikan kebersihan dan tiada penularan kuman, semua naskah Al Quran dan tong air zam-zam tidak lagi disediakan untuk orang ramai.

Namun, para jemaah tetap diberikan botol-botol air zam-zam atau menerusi tangki-tangki air bergerak.

Sumber : Agensi berita/AA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita