Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi perkenal kayu ukur pantau mutu khidmat haji

Pusat Negara Arab Saudi bagi Pengukuran Prestasi (ADAA) mengumumkan pelancaran operasi penilaian musim Haji tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi perkenal kayu ukur pantau mutu khidmat haji

Para jemaah tiba di Lapangan Terbang Jeddah. (Gambar: Amer Hilabi/AFP)

Diterbitkan : 05 Aug 2019 03:16PM Dikemas Kini : 05 Aug 2019 03:20PM

RIYADH: Pusat Negara Arab Saudi bagi Pengukuran Prestasi (ADAA) mengumumkan pelancaran operasi penilaian musim Haji tahun ini.

Pusat itu menyasarkan 50 khidmat yang disediakan 16 agensi kerajaan kepada para jemaah dari Arab Saudi dan merata dunia di Makkah, Madinah, Jeddah dan Taif.

"Pusat itu mematuhi kriteria-kriteria metodologi yang dilakar mengikut amalan terbaik antarabangsa," kata Ketua Pengarah ADAA Ibrahim Niaz. Kayu ukur itu menyediakan data terperinci yang mencerminkan kepuasan para jemaah terhadap khidmat yang disediakan sepanjang mereka menjalani ibadah di sana, lapor Arab News.

Kriteria kayu ukur yang ditetapkan adalah: Proses, tapak, sistem elektronik, kakitangan, jangka masa dan pengeluaran.

Skala operasi dikatakan besar, dengan 31 tapak ditinjau 80 penyelidik lapangan daripada 22 negara.

Menurut Arab News, mereka akan mengukur tahap kepuasan para jemaah Haji semasa mendapatkan visa Haji, melakukan perjalanan ke Makkah dan Madinah, khidmat bantuan dan mobiliti, menunaikan ibadah mereka, dan ketika berangkat mahupun menziarahi Masjid Nabawi.

Buat pertama kalinya, ADAA akan melaksanakan tiga kayu ukur bagi menilai kepuasan para jemaah: 'The Mystery Shopper', 'Platform Watani' dan tinjauan-tinjauan lapangan.

ADAA akan menghantar pembeli-belah 'misteri' untuk kononnya menunaikan ibadah haji tetapi mereka akan sebaliknya memeriksa jika khidmat-khidmat yang disediakan kepada para jemaah mematuhi piawai yang ditetapkan. Mereka juga akan menilai kelakonan para kakitangan.

"Pusat itu akan menggunakan tiga kaedah untuk mengukur kepuasan para jemaah dan bertanya dengan mereka secara langsung. Para jemaah akan menjawab sekitar 7,500 borang soal selidik berkaitan dengan pengalaman masing-masing, dan penggunaan khidmat-khidmat kerajaan," kata Encik Niaz.

Dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat ADAA di Riyadh, Khalid Al-Omari, pengurus kanan mutu khidmat memberitahu media tempatan: "Platform Watani adalah satu platform elektronik yang ditawarkan dalam 9 bahasa berbeza untuk mencerminkan suara rakyat, penduduk, pengunjung dan pelabur. Ia membolehkan mereka untuk menilai mutu khidmat awam menurut amalan-amalan terbaik dunia.

Hassan Genah, pengarah eksekutif analisa prestasi berkata: "Platform ini akan menilai mutu khidmat badan-badan kementerian bagi para jemaah Haji."  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan