Skip to main content

Dunia

Arab Saudi nafi runding perjanjian dengan Israel

Media Israel dan sumber pemerintah melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat penting di Arab Saudi bersama dengan Putera Mahkota Mohammed Salman. Dakwaan tersebut bagaimanapun disangkal oleh Riyadh.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi nafi runding perjanjian dengan Israel

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 11:46AM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 11:49AM

BAITULMAKDIS: Media Israel dan sumber pemerintah melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat penting di Arab Saudi bersama dengan Putera Mahkota Mohammed Salman. Dakwaan tersebut bagaimanapun disangkal oleh Riyadh.

Laporan-laporan media itu mencetuskan spekulasi bahawa Israel mungkin semakin hampir untuk memulihkan hubungan dengan Arab Saudi selepas memeterai perjanjian bersejarah dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain , dengan Amerika Syarikat menjadi orang tengah dalam perjanjian tersebut.

Stesen penyiaran Israel, Kan dan beberapa media lain melaporkan Encik Netanyahu dan ketua agensi risikan Mossad, Encik Yosef Meir Cohen bertemu dengan Putera Mahkota Saudi bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo di bandar futuristik Laut Merah, NEOM pada Ahad.

Sumber Israel yang tidak mahu identitinya didedahkan mengesahkan laporan itu dengan AFP.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan menolak keras laporan itu, yang menggambarkan seolah-olah Saudi tidak lagi berpegang kepada pendiriannya yang tidak mahu mengadakan sebarang rundingan dengan Israel selagi konflik Palestin belum dihuraikan.

"Saya sudah melihat laporan berita mengenai mesyuarat yang kononnya diadakan antara Putera Mahkota dengan para pegawai Israel semasa lawatan Pompeo.

"Tiada mesyuarat seumpama itu. Pegawai yang hadir hanya dari Amerika Syarikat dan Arab Saudi," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Encik Pompeo mengesahkan bahawa beliau berada di NEOM sebagai sebahagian daripada rangka lawatan ke Timur Tengah dan bertemu dengan Putera Mohammed, yang dikenali menerusi singkatan MBS.

Jabatan Negara Amerika juga enggan mengesahkan pertemuan tiga hala itu.

Netanyahu apabila ditanya mengenai lawatan ke Arab Saudi semasa mengadakan mesyuarat Parti Likud pimpinannya juga enggan mengulas lanjut.  

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita