Arab Saudi mulakan rancangan awal bagi musim haji 1447H
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dengan kerjasama Program Pengalaman Jemaah Haji mengadakan majlis penutup tahunan pada Ahad malam (8 Jun) di ibu pejabat kementerian di Makkah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Suasana di Tanah Suci, Makkah, sempena musim Haji. (Gambar: The Guardian)
Majlis turut memberi penghormatan kepada penerima Anugerah Labbaitum bagi Kecemerlangan Perkhidmatan kepada Jemaah, serta meraikan usaha pejabat urusan jemaah haji dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang musim haji 1446 Hijrah.
Dalam ucapannya, Menteri Haji dan Umrah Dr Tawfig Al-Rabiah mengumumkan penyerahan rasmi dokumen penyusunan awal kepada pejabat urusan jemaah haji sebagai persediaan bagi musim haji 1447 Hijrah.
Langkah awal itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memperbaiki pengalaman jemaah melalui pemeteraian kontrak awal, penetapan lokasi perkhidmatan dan penyepaduan sistem perkhidmatan.
Encik Al-Rabiah menegaskan yang kejayaan musim haji tahun ini adalah dengan izin Allah SWT, disusuli oleh sokongan dan bimbingan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud serta pemantauan langsung secara berterusan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Beliau berkata kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pejabat urusan jemaah haji berperanan penting dalam memastikan kelancaran dan kejayaan musim haji tahun ini.
Encik Al Rabiah berkata kementerian memulakan perancangan awal untuk haji 1447H dengan mengeluarkan dokumen penyusunan awal, yang membolehkan pejabat urusan jemaah mendapatkan perkhidmatan penting lebih awal demi kestabilan operasi dan kualiti perkhidmatan.
Beliau turut menekankan kepentingan mematuhi syarat kelayakan kesihatan semasa pendaftaran jemaah, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.
Menteri itu juga mengumumkan yang Persidangan dan Pameran Haji dan Umrah dijadualkan berlangsung pada November dan menjemput semua rakan kongsi tempatan serta antarabangsa untuk menyertai platform global tersebut dalam mempamerkan inovasi dan bertukar kepakaran bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah secara berterusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.