Skip to main content

Dunia

Arab Saudi mansuhkan tempat masuk berasingan jantina di tempat makan

Restoran-restoran dan kafe-kafe di Arab Saudi tidak lagi perlu mengadakan tempat masuk berbeza mengikut jantina, menurut pihak berkuasa, dalam satu lagi usaha melonggarkan sekatan sosial dalam kerajaan konservatif itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi mansuhkan tempat masuk berasingan jantina di tempat makan

(Gambar: AFP/Patrick Baz)

Diterbitkan : 09 Dec 2019 08:53PM Dikemas Kini : 09 Dec 2019 09:00PM

RIYADH: Restoran-restoran dan kafe-kafe di Arab Saudi tidak lagi perlu mengadakan tempat masuk berbeza mengikut jantina, menurut pihak berkuasa, dalam satu lagi usaha melonggarkan sekatan sosial dalam kerajaan konservatif itu.

Sebelum ini tempat-tempat makan mempertuntukkan satu tempat masuk untuk lelaki bujang dan satu lagi untuk kaum wanita dan keluarga, dalam sebuah negara di mana pegawai penguatkuasaan agama memastikan pengasingan jantina di tempat awam selama berdekad-dekad lamanya.

Kementerian ehwal majlis bandaran dan luar bandar menyatakan di Twitter pada Ahad ia akan memansuhkan beberapa peraturan ke atas restoran, termasuk keperluan "tempat masuk berasingan bagi bujang dan bagi keluarga".

Tidak jelas sama ada peruntukan duduk secara berasingan di dalam restoran juga akan dimansuhkan.

Buat masa ini, restoran-restoran memisahkan kawasan tempat duduk "keluarga" bagi mereka yang ditemani oleh wanita dan kawasan "bujang" bagi lelaki. Namun banyak tempat secara senyap-senyap memansuhkan ruang pemisah itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedang kerajaan Arab Saudi mempergiat usaha keterbukaan negara.

Perubahan terbaru itu disambut baik warga muda Arab Saudi namun ditolak oleh pihak sangat konservatif di media sosial, dengan seorang pengguna Twitter mendakwa langkah itu "melanggar shariah".

Pemimpin de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, sedang berusaha merubah imej kerajaannya menjadi negara yang bersifat moderat dan mesra perniagaan untuk menarik lebih banyak pelaburan.

Putera Mohammed turut menyekat kuasa pemimpin agama yang tegar sedang beliau memodenkan negaranya dan membenarkan pergaulan bebas semasa konsert dan menarik balik pengharaman ke atas pawagam serta pemandu wanita.

Setakat tiga tahun lalu, para pegawai penguasa agama yang mencetuskan rasa takut dalam negara, kerap kali dilihat mengusir orang ramai keluar dari pusat beli-belah untuk sembahyang dan memarah sesiapa yang dilihat bergaul secara bebas.

Para pegawai penguatkuasa agama itu, yang pengaruh kuasanya semakin lemah sebelum Putera Mohammed mula berkuasa, kini jarang-jarang dilihat di tempat awam.

Meskipun demikian, usaha perubahan juga diiringi tindakan keras ke atas para aktivis, termasuk ke atas golongan wanita yang menuntut perubahan yang lebih pantas. Sebahagian daripada mereka mendakwa gangguan seksual dan penganiayaan oleh para penyiasat, namun ini ditolak oleh pihak pendakwa raya Arab Saudi.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita