Arab Saudi main peranan penting sokong huraian politik konflik serantau: Jurucakap PBB
Arab Saudi memainkan peranan penting dalam isu keamanan dan keselamatan serantau serta sejagat, termasuk menyokong huraian politik bagi konflik di rantau itu.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric semasa taklimat media di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat, pada 26 Mei 2022. (Gambar fail: REUTERS)
- Stéphane Dujarric berkata Arab Saudi memainkan peranan penting dalam keamanan serantau dan sejagat dengan menyokong dialog, diplomasi serta huraian politik bagi konflik di Timur Tengah.
- Arab Saudi dan Perancis mempengerusikan persidangan antarabangsa yang menghasilkan Deklarasi New York untuk menyokong huraian aman isu Palestin dan pelaksanaan dua negara.
- PBB menekankan perlunya proses politik dipercayai, penghentian peluasan penempatan, penarikan balik penaklukan, serta pengukuhan institusi dan kewangan pemerintah Palestin.
- Dujarric berkata Gaza, Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur perlu kekal bersatu, sambil melihat Arab Saudi sebagai rakan penting PBB dalam diplomasi, kemanusiaan dan pembangunan.
Demikian menurut Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric.
Dalam wawancara bersama Agensi Akhbar Saudi (SPA), Encik Dujarric berkata usaha Arab Saudi membantu membuka ruang bagi dialog, meredakan ketegangan dan menggembleng sokongan serantau ke arah mencapai keamanan berkekalan.
Beliau turut mengalu-alukan kepimpinan yang ditunjukkan Arab Saudi bersama Perancis dan rakan-rakan lain dalam menggembleng sokongan antarabangsa menerusi Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi bagi Huraian Aman Isu Palestin dan Pelaksanaan Huraian Dua Negara.
Arab Saudi dan Perancis merupakan pengerusi bersama persidangan tersebut, yang menghasilkan Deklarasi New York mengenai huraian aman isu Palestin dan pelaksanaan huraian dua negara.
Encik Dujarric berkata tumpuan kini harus diberikan kepada usaha menterjemahkan sokongan antarabangsa itu kepada tindakan berterusan dan nyata.
PROSES POLITIK YANG BOLEH DIPERCAYAI
Menurut Encik Dujarric, langkah praktikal paling penting untuk memajukan keamanan di Timur Tengah dan melaksanakan huraian dua negara adalah dengan mewujudkan proses politik yang boleh dipercayai.
Proses itu, katanya, perlu membawa kepada berakhirnya pendudukan dan penubuhan Negara Palestin, dengan sokongan langkah-langkah berkesan bagi memastikan huraian dua negara kekal berdaya maju.
Beliau turut menekankan perlunya peluasan penempatan dihentikan dan penaklukan ditarik balik, selain memperkukuh institusi Palestin dan memulihkan kemampanan kewangan pemerintah Palestin.
Gesaan itu selaras dengan pendirian terkini Setiausaha Agung PBB António Guterres supaya peluasan penempatan dihentikan, penaklukan dicegah dan satu proses politik yang boleh dipercayai dimajukan ke arah menamatkan pendudukan.
Encik Dujarric turut menekankan bahawa Carikan Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis Timur, perlu kekal bersatu dari segi politik, ekonomi dan geografi.
Deklarasi New York turut menetapkan penyatuan Carikan Gaza dengan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan sebuah Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.
PERANAN ARAB SAUDI DI PERINGKAT SEJAGAT
Encik Dujarric berkata peranan Arab Saudi dalam isu keamanan dan keselamatan serantau serta antarabangsa boleh terus diperkukuhkan, sambil menekankan keupayaan negara itu menghimpunkan pelbagai pihak antarabangsa.
Beliau turut menyifatkan Arab Saudi sebagai rakan penting PBB dalam bidang diplomasi, bantuan kemanusiaan dan pembangunan.
Menurutnya, terdapat peluang untuk memperkukuh kerjasama bagi menghasilkan kemajuan nyata dalam usaha meredakan ketegangan, menggalakkan dialog dan diplomasi serta mencapai keamanan dan pembangunan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.