Arab Saudi larang siaran solat, termasuk tarawih di semua platform media sepanjang Ramadan

Suasana di Masjidil Haram pada 7 Jun 2024. (Gambar: @HaramainInfo/X)
JEDDAH: Arab Saudi mengeluarkan arahan melarang penyiaran atau penghantaran siaran solat, termasuk solat Tarawih, di semua platform media sepanjang Ramadan nanti.
Arahan itu diumumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menerusi akaun X rasminya pada Rabu (19 Feb), sebagai sebahagian daripada garis panduan dan arahan kepada masjid bagi persiapan bulan Ramadan pada Mac ini.
"Kementerian juga menegaskan keperluan untuk menetapkan kawalan terhadap pemasangan kamera di masjid dan tidak menggunakannya untuk merakam imam serta jemaah ketika solat…," menurut kenyataan itu.
Arahan itu turut menyatakan bahawa imam bertanggungjawab memberikan kebenaran kepada jemaah, mengesahkan tiada pelanggaran dilakukan mereka, mengetahui maklumat berkaitan jemaah serta mendapatkan kelulusan penaja yang sah bagi bukan warganegara Arab Saudi.
Menurut laporan yang dipetik daripada Middle East Monitor, larangan tersebut bukan sahaja tertakluk kepada solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga untuk semua solat berjemaah di masjid.
Kementerian turut menekankan larangan mengumpul sumbangan kewangan bagi projek penyediaan iftar (berbuka puasa) dan lain-lain. Sekiranya terdapat penyediaan iftar, ia hendaklah diadakan di tempat yang disediakan di perkarangan masjid serta di bawah tanggungjawab imam dan bilal.
Pihak yang bertanggungjawab menyediakan iftar perlu membersihkan kawasan berkenaan sejurus selepas berbuka serta dilarang mendirikan bilik atau khemah sementara bagi tujuan itu, menurut kenyataan berkenaan.
Kementerian juga menyeru petugas masjid, termasuk imam, pendakwah dan khatib, untuk meningkatkan kesedaran agama dengan menerangkan keutamaan bulan Ramadan, hukum-hakamnya, galakan melakukan amal kebaikan serta kepentingan memanfaatkan keberkatan hari dan malam sepanjang bulan itu.
Pemeriksa masjid akan mempergiat lawatan lapangan bagi memastikan semua arahan kepada petugas masjid dipatuhi dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu.
Ramadan di Arab Saudi dijangka bermula pada Sabtu (1 Mac) menurut perhitungan astronomi yang disampaikan oleh Presiden Astronomi Jeddah (JAS), Majed Abu Zahwa.
Seramai tujuh imam akan memimpin solat tarawih di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan ini, termasuk Syekih Abdurrahman as-Sudais.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.