Arab Saudi lancar 'Nusuk Umrah' permudah visa dan perjalanan
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Rabu (20 Ogos) melancarkan perkhidmatan Nusuk Umrah, yang membolehkan jemaah dari luar negara memohon visa umrah secara langsung dan menempah perkhidmatan secara online tanpa perantara.

Para jemaah bertawaf mengelilingi kaabah semasa menunaikan umrah. (Gambar fail: Bernama)
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), platform tersebut bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan memperkaya pengalaman jemaah.
Nusuk Umrah adalah pilihan baharu bagi jemaah antarabangsa, melengkapi saluran sedia ada seperti ejen bertauliah.
Perkhidmatan itu membolehkan pengguna menyesuaikan perjalanan mereka dengan memilih pakej bersepadu atau menempah perkhidmatan secara individu seperti visa, penginapan, pengangkutan dan lawatan.
Platform tersebut menampilkan paparan mesra pengguna yang menyokong tujuh bahasa, berintegrasi dengan sistem kerajaan dan menawarkan pelbagai pilihan pembayaran bagi pengalaman digital yang lancar.
Pelancaran khidmat itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian untuk mencapai matlamat Visi 2030 Arab Saudi, dengan menambah bilangan tetamu Muslim serta menyediakan khidmat bermutu tinggi dan mudah bagi mempertingkatkan perjalanan ibadah haji dan umrah.
Platform baharu itu boleh diakses di: https://umrah.nusuk.sa/
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.