Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi kutuk karikatur hina Nabi Muhammad

Arab Saudi pada Selasa (27 Okt) mengutuk kartun yang menghina Nabi Muhammad dan sebarang percubaan untuk mengaitkan Islam dengan pengganasan. Bagaimanapun berbanding negara-negara Islam lain, ia tidak menggesa tindakan diambil terhadap gambar-gambar Nabi Muhammad yang dipaparkan di Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi kutuk karikatur hina Nabi Muhammad

Seorang pengawal memegang bendera Arab Saudi pada 29 Ogos 2019 di Washington, D.C. (Gambar: Brendan Smialowski / AFP)

Diterbitkan : 27 Oct 2020 06:41PM Dikemas Kini : 28 Oct 2020 01:30AM

DUBAI: Arab Saudi pada Selasa (27 Okt) mengutuk kartun yang menghina Nabi Muhammad dan sebarang percubaan untuk mengaitkan Islam dengan pengganasan. Bagaimanapun berbanding negara-negara Islam lain, ia tidak menggesa tindakan diambil terhadap gambar-gambar Nabi Muhammad yang dipaparkan di Perancis.

Seorang pegawai kementerian luar negeri juga berkata dalam satu kenyataan bahawa negara Teluk itu mengutuk semua tindakan pengganasan, yang dilihat sebagai merujuk kepada kejadian seorang guru yang dipenggal di Paris bulan ini oleh seorang pelampau sebagai membalas dendam terhadap penggunaan kartun Nabi Muhammad dalam pelajaran di kelas mengenai kebebasan bersuara.

"Kebebasan bersuara dan budaya patut menjadi lambang sifat hormat, tolak ansur, dan perdamaian yang menolak amalan dan tindakan yang menimbulkan kebencian, keganasan dan ekstremisme dan bercanggah dengan kehidupan secara bersama," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh media rasmi Saudi.

Gambar-gambar Nabi Muhammad itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan Muslim sedunia dengan pemimpin Turki menyeru barangan Perancis dipulaukan dan parlimen Pakistan mengeluarkan ketetapan yang menggesa pemerintah untuk memanggil baik utusannya dari Paris.

Di Arab Saudi, seruan untuk memulaukan rangkaian pasar raya Perancis Carrefour tersebar luas di media sosial, namun dua gedung utama yang dikunjungi Reuters di Riyadh pada Isnin kelihatan sibuk seperti biasa. Seorang jurucakap syarikat di Perancis berkata pihaknya masih belum mengalami sebarang kesan.

Majid Al Futtaim berpangkalan di Amiriah Arab Bersatu, yang memiliki dan mengendalikan pasar raya Carrefour di seluruh Timur Tengah, berkata rangkaian itu menyokong ekonomi serantau dengan memperolehi kebanyakan sumber barangan dari pembekal tempatan dan menggajikan ribuan orang.

"Kami memahami bahawa ada beberapa keprihatinan dalam kalangan pengguna di seluruh rantau ini sekarang dan kami sedang memantau keadaan dengan teliti," kata rangkaian tersebut dalam satu kenyataan yang dikirimkan kepada Reuters pada Isnin.

Di negara jiran Kuwait, beberapa pasar raya telah menarik balik produk Perancis di bawah arahan sebuah kesatuan koperasi.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan