Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Arab Saudi giat berusaha banteras pengaruh Ikhwanul Muslimin

Arab Saudi sedang memperbaharui kurikulum pendidikannya untuk membasmi sebarang pengaruh Ikhwanul Muslimin. Ia juga akan memecat sesiapa sahaja yang bekerja dalam sektor tersebut yang didapati bersimpati dengan kumpulan yang diharamkannya itu, tegas menteri pendidikannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi giat berusaha banteras pengaruh Ikhwanul Muslimin

Gambar fail sebuah universiti di Arab Saudi. (Gambar: Moh Rajid Khan/ Facebook)

Diterbitkan : 22 Mar 2018 12:05AM Dikemas Kini : 22 Mar 2018 12:14AM

RIYADH: Arab Saudi sedang memperbaharui kurikulum pendidikannya untuk membasmi sebarang pengaruh Ikhwanul Muslimin. Ia juga akan memecat sesiapa sahaja yang bekerja dalam sektor tersebut yang didapati bersimpati dengan kumpulan yang diharamkannya itu, tegas menteri pendidikannya.

Ini seiring dengan Islam jenis sederhana yang digalakkan Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai salah satu daripada janjinya dalam rancangannya untuk memodenkan kerajaan Muslim yang konservatif itu.

Kementerian Pendidikan sedang berusaha untuk "membanteras ideologi lampau dengan menyemak kurikulum sekolah dan buku-buku untuk memastikan ia tidak mencerminkan agenda Ikhwanul Muslimin," kata Dr. Ahmed Al-Eissa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ia akan "mengharamkan buku-buku sedemikian daripada sekolah-sekolah dan universiti-universiti dan menarik buku-buku yang bersimpati dengan kumpulan tersebut ataupun ideologinya," tambah beliau.

September lalu, sebuah universiti awam Arab Saudi mengumumkan bahawa ia akan memberhentikan kakitangan yang disyaki mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin.

Pengumuman tersebut menambah keprihatinan bahawa pemerintah Arab Saudi sedang mengetatkan kawalan terhadap pengkritik-pengkritiknya dalam bidang akademik dan selanjutnya.

Awal bulan ini, Putera Mahkota Mohammed juga memberitahu CBS bahawa sekolah-sekolah di Arab Saudi "diserang' oleh unsur-unsur Ikhwanul Muslimin yang disytiharkan oleh negara tersebut sebagai sebuah pertubuhan pengganas, sama seperti kumpulan-kumpulan militan - al Qaeda dan ISIS.

ANCAMAN DALAMAN

Putera Mahkota muda itu sudahpun mengambil beberapa langkah untuk melonggarkan peraturan-peraturan sosial yang ketat di Arab Saudi dengan mengurangkan peranan polis syariah, membenarkan konsert-konsert awam dan mengumumkan rancangan untuk membenarkan golongan wanita memandu.

Sememangnya, keluarga Al Saud yang memegang kuasa sekian lama menganggap kumpulan-kumpulan Islam sebagai ancaman dalaman yang utama terhadap kuasa mereka di negara di mana sentimen keagamaan kuat bergema terutama sekali selepas sebuah kempen al Qaeda 10 tahun yang lalu mengorbankan beratus-ratus nyawa.

Sejak kerajaan itu ditubuhkan, Al Saud menikmati perikatan rapat dengan golongan agamawan Wahabi yang sangat konservatif yang mendukung falsafah politik yang mendesak rakyat untuk mematuhi kerajaan.

Sebaliknya, Ikhwanul Muslimin menyokong doktrin politik yang menggesa revolusi.

Pertubuhan yang ditubuhkan hampir 100 tahun dahulu di Mesir itu menyatakan bahawa ia komited kepada aktivisme yang aman dan pembaharuan melalui pilihan raya. Para pengikutnya pula boleh didapati di merata rantau itu dengan pejabatnya di negara-negara Arab dari Tunisia hingga ke Jordan.

Anggota Ikhwanul Muslimin yang melarikan diri daripada penindasan di Mesir, Syria dan Iraq setengah abad yang lalu mendapatkan perlindungan di Arab Saudi.

Ada dalam kalangan mereka yang menjawat peranan dalam sistem pendidikan kerajaan tersebut. Mereka membantu menubuhkan Sahwa ataupun gerakan "Kesedaran" yang memperjuangkan demokrasi pada 1990-an.

Meskipun Sahwa kemudian kurang berpengaruh dengan beberapa aktivisnya ditangkap dan yang lain dipengaruhi untuk menyokong kerajaan, masih lagi ada golongan yang bersimpati dengan Ikhwanul Muslimin. Perjuangannya tetap hidup dalam kalangan penduduk.  

Sumber : Reuters/SM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan