Skip to main content

Dunia

Arab Saudi gantung kontrak 1,800 agensi pelancongan umrah asing kerana tidak patuh

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi gantung kontrak 1,800 agensi pelancongan umrah asing kerana tidak patuh

Musim haji di Makkah. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Feb 2026 12:04AM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 12:06AM
MAKKAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan penggantungan kontrak sedia ada dengan 1,800 agensi pelancongan asing daripada kira-kira 5,800 agensi yang beroperasi dalam sektor umrah.

Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan langkah itu termasuk memberikan tempoh 10 hari kepada agensi terjejas untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti semasa penilaian berkala, yang mendedahkan kelemahan dalam prestasi dan kualiti perkhidmatan.

Menurut pihak kementerian, penggantungan itu hanya terpakai bagi pengeluaran visa baharu dan merupakan sebahagian daripada pendekatan pengawalseliaan yang direka untuk membantu pihak agensi menangani isu pengkelasan dan meningkatkan pematuhan terhadap piawaian yang diluluskan.

Kontrak akan diaktifkan semula sebaik sahaja syarat dipenuhi dalam tempoh yang diberikan.

Kementerian menekankan bahawa jemaah yang mempunyai visa sah atau tempahan sedia ada tidak akan terjejas, dan perkhidmatan akan diteruskan tanpa gangguan.

Jurucakap kementerian Ghassan Alnwaimi, berkata tindakan pengawalseliaan akan diambil terhadap mana-mana agensi yang gagal membetulkan kekurangan mereka sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Beliau menambah kementerian itu akan terus menggunakan alat pemantauan dan penilaian untuk mengukuhkan kebolehpercayaan sektor umrah serta melindungi hak-hak jemaah.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita