Skip to main content

Dunia

Arab Saudi catat rekod 500,000 jemaah umrah pada 6 Mac

Arab Saudi mencatat rekod tertinggi bagi bilangan jemaah umrah dalam sehari apabila seramai 500,000 anggota jemaah mengunjungi Masjidil Haram pada 6 Mac, lapor BH Online, memetik agensi berita Gulf News.

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi catat rekod 500,000 jemaah umrah pada 6 Mac

Pemandangan di sekitar Masjidil Haram. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 11 Mar 2025 11:49PM Dikemas Kini : 11 Mar 2025 11:50PM
JEDDAH: Arab Saudi mencatat rekod tertinggi bagi bilangan jemaah umrah dalam sehari apabila seramai 500,000 anggota jemaah mengunjungi Masjidil Haram pada 6 Mac, lapor BH Online, memetik agensi berita Gulf News.

Menurut kenyataan dari Presidensi Umum Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, angka itu adalah jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dalam tempoh sehari sepanjang musim umrah pada 2025.

Bagi memastikan operasi berjalan lancar dan pengurusan jemaah lebih cekap, pihak berkuasa memperkenalkan teknologi terkini untuk memantau aliran jemaah di sekitar Masjidil Haram.

Antaranya termasuk penggunaan pengimbas yang ditempatkan di pintu-pintu utama masjid. Pengimbas tersebut mampu mengesan jumlah jemaah secara langsung.

Selain itu, kamera pintar turut dipasang bagi mengesan pergerakan dan mengenal pasti kawasan yang sesak dengan lebih tepat, menurut BH Online,memetik agensi berita Gulf News.

Gabungan teknologi sensor dan kecerdasan buatan (AI) itu memudahkan pihak berkuasa mengatur pergerakan jemaah, terutama di kawasan tumpuan utama seperti Mataf (tempat melakukan tawaf mengelilingi Kaabah) dan kawasan Saie di antara Bukit Safa dan Marwah.

Teknologi itu penting dalam memastikan keselamatan pengunjung, pergerakan masuk dan keluar yang lancar, serta tindakan pantas ketika waktu sibuk.

Dalam pada itu, rondaan keselamatan Makkah terus dipergiat secara berterusan terutama ketika Ramadan, yang juga musim apabila jumlah pengunjung meningkat secara mendadak.

Rondaan keselamatan tersebut dilakukan dengan kerjasama agensi lain, menurut pihak berkuasa.

Ia menguruskan kesesakan, membantu jemaah warga emas, menyatukan semula kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga di samping memberi panduan kepada pengunjung yang sesat atau memerlukan bantuan.

"Kami sentiasa bersiap sedia sepanjang masa, terutama pada Ramadan ini untuk memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah yang datang dari seluruh dunia," kata seorang pegawai keselamatan yang bertugas, seperti yang dilaporkan BH Online, memetik agensi berita Gulf News.

Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi turut mengedarkan 29,000 naskhah al-Quran dalam bahasa Arab dan pelbagai bahasa asing kepada jemaah umrah yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

"Hadiah al-Quran dalam bahasa kami sendiri amat bernilai dan akan menjadi kenangan indah sepanjang hayat kami setelah pulang ke tanah air nanti," kata seorang jemaah yang ditemui di lapangan terbang itu.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita