Skip to main content

Dunia

Arab Saudi bakal hantar angkasawan wanita, lelaki pertama ke angkasa pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Arab Saudi bakal hantar angkasawan wanita, lelaki pertama ke angkasa pada 2023

(Gambar: Saudi Press Agency)

Diterbitkan : 13 Feb 2023 10:51PM
RIYADH: Arab Saudi mengumumkan pada Ahad (13 Feb) ia akan menghantar angkasawan wanita pertama dari negara itu, Rayyanah Barnawi dan angkasawan lelaki Ali Al-Qarni ke Stesen Angkasa Antarabangsa pada suku kedua 2023.

Ia bertujuan untuk memperkasakan keupayaan negara itu dalam penerbangan manusia ke angkasa memperoleh manfaat daripada peluang yang ditawarkan industri angkasa lepas.

Angkasawan tersebut, Cik Barnawi dan Encik Al-Qarni akan menyertai kumpulan misi angkasa AX-2.

Penerbangan ke angkasa lepas itu dijadual dilancarkan dari Amerika Syarikat ke Stesen Angkasa Antarabangsa.

Selain itu, Program Penerbangan Angkasa Manusia Arab Saudi juga melatih dua lagi angkasawan, Mariam Fardous dan Ali Al-Ghamdi mengenai semua keperluan misi itu.

Pengerusi Suruhanjaya Angkasa Arab Saudi, Abdullah Al-Swaha menjelaskan pada Ahad (13 Feb) bahawa Kerajaan negara itu berminat untuk memberi sokongan penuh kepada usaha program angkasa tersebut.

Melalui program itu, Kerajaan Arab Saudi ingin mengaktifkan inovasi saintifik di peringkat sains angkasa, meningkatkan keupayaannya untuk menjalankan penyelidikan sendiri secara bebas yang akan mencerminkan masa depan industri dan negara it secara positif.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan minat graduan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), serta membangunkan modal insan dengan menarik bakat dan kemahiran yang diperlukan.

Penerbangan angkasa manusia merupakan simbol keunggulan serta daya saing global negara itu dalam pelbagai bidang, seperti teknologi, kejuruteraan, penyelidikan dan inovasi.

Misi itu juga merupakan satu detik bersejarah. Kerajaan tersebut akan menjadi salah satu negara yang membawa dua angkasawan yang memiliki kewarganegaraan sama ke Stesen Angkasa Antarabangsa.
 
Sumber : AGENCIES/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita