Arab Saudi akui Khashoggi dibunuh di konsulat Istanbul: Media rasmi tempatan
Arab Saudi akhirnya mengaku bahawa wartawan dan pengkritik kerajaan, Jamal Khashoggi, dibunuh di konsulatnya di Istanbul. Ini menurut media rasmi kerajaan itu, dua minggu selepas kehilangan Khashoggi mencetuskan kekecohan antarabangsa.
RIYADH: Arab Saudi akhirnya mengaku bahawa wartawan dan pengkritik kerajaan, Jamal Khashoggi, dibunuh di konsulatnya di Istanbul. Ini menurut media rasmi kerajaan itu, dua minggu selepas kehilangan Khashoggi mencetuskan kekecohan antarabangsa.
Kerajaan itu juga pada Sabtu (19 Okt) mengumumkan pemecatan seorang pegawai kanan risikan Ahmad al-Assiri dan penasihat media kerajaan, Saud al-Qahtani, kedua-duanya pegawai rapat kepada Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang semakin menghadapi tekanan berhubung isu Khashoggi.
Khashoggi, penulis di Washington Post, kali terakhir dilihat memasuki konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober.
Kehilangan beliau dikaburi misteri dan mencetuskan krisis antarabangsa dengan para pegawai Turki mendakwa ia suatu pembunuhan oleh Arab Saudi.
"Rundingan antara Jamal Khashoggi dan mereka yang beliau temui di konsulat kerajaan di Istanbul ... bertukar menjadi pergaduhan yang mengakibatkan kematiannya," menurut Saudi Press Agency yang menukil pendakwa raya.
Kerajaan Riyadh mengumumkan 18 orang diberkas dalam siasatan yang sedang dijalankan. Raja Arab Saudi juga menitahkan supaya jawatankuasa kementerian yang diterajui putera mahkota ditubuhkan, untuk menyemak semula struktur agensi perisikan kerajaan, menurut media rasmi tempatan.
Sejurus sebelum Riyadh mengesahkan pembunuhan Khashoggi, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Raja Arab Saudi Raja Salman bersetuju, menerusi panggilan telefon, untuk meneruskan kerjasama dalam penyiasatan isu Khashoggi.
Amerika Syarikat pada Jumaat memberi amaran akan mengambil respons "pelbagai tindakan" jika Arab Saudi terbukti sebagai dalang di sebalik pembunuhan Jamal Khashoggi, sedang Turki menggiatkan siasatan. Presiden Donald Trump juga berkata negaranya, yang merupakan sekutu kuat Arab Saudi, akan menimbangkan sekatan.
Pentadbiran Trump sebelum ini keberatan untuk mengkritik Arab Saudi meskipun terdapat bukti yang semakin kukuh yang menunjukkan Khashoggi, seorang pengkritik putera mahkota Saudi, hilang selepas memasuki bangunan konsulat Saudi di Istanbul.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.