Apple harus bina kilang di Indonesia: Menteri Perindustrian Indonesia
Menteri Perindustrian Indonesia Agus Gumiyang Kartasasmita berharap Apple akan merealisasikan pelaburan sebanyak AS$1 bilion (S$1.3 bilion) di Indonesia dengan membina sebuah kilang.
(Gambar: ANTARA)
"Insya Allah, mereka (Apple) akan melaksanakan skim pertama, iaitu melabur dalam kemudahan pengilangan," kata Encik Kartasasmita di luar Acara Perindustrian 2024 di Surabaya, Jawa Timur pada Rabu (4 Dis).
Menurutnya, pihak kementerian telah berbincang dengan Kementerian Investasi dan Hilirisasi untuk menyediakan skim terbaik bagi menyokong pelan pelaburan syarikat teknologi utama dari Amerika Syarikat itu.
Skim, teknik serta bidang perindustrian yang akan ditawarkan kepada Apple masih perlu ditentukan, katanya.
"Kemudian, kita akan menghulurkan bantuan supaya pelaburan Apple dapat berjalan lancar dan baik seperti yang dipersetujui, supaya Apple dapat berkembang pesat di Indonesia dengan menampilkan kemudahan pengeluaran atau kilang," katanya.
Beliau menekankan bahawa keputusan Apple untuk melabur AS$1 bilion di Indonesia mencerminkan komitmen pemerintah mengutamakan prinsip keadilan dalam melakukan perniagaan.
Pemerintah negara telah menolak cadangan pelaburan Apple bernilai AS$100 juta (S$134 juta) kerana ia dianggap tidak setaraf dengan jumlah unit produk terjual di Indonesia, di mana jumlahnya mencecah 2.5 juta pada 2023.
Cadangan pelaburan itu lebih rendah berbanding pelaburan Apple di Vietnam, di mana ia adalah sekitar 140 trilion rupiah (S$11.8 juta) walaupun negara itu mempunyai hanya 1.5 juta unit.
Selain itu, pemerintah Indonesia mendapati pengeluar telefon bimbit, komputer riba dan tablet yang lain telah melabur jumlah lebih banyak dan bahkan membina kilang di Indonesia.
Sebagai contoh, Samsung telah melabur 8 trilion rupiah (S$675 juta) di Indonesia manakala Xiaomi melabur 5 trilion rupiah (S$422 juta).
"Kami juga melihat berapa banyak sumbangan dibuat kepada penyerapan buruh oleh setiap pengeluar," kata Encik Kartasamita.
Justeru, beliau berkata rancangan Apple untuk melabur AS$1 bilion di Indonesia bertujuan melindungi bahagian pasarannya yang besar di negara itu.
"Jika mereka tidak melabur, mereka akan kerugian kerana permit pengedaran tidak datang daripada kami. Mereka akan kehilangan pasaran di Indonesia," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.