Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Apple ancam keluarkan Twitter daripada App Store, kata Elon Musk

Anggaran Waktu Membaca:

WASHINGTON: Apple mengancam untuk mengeluarkan Twitter daripada kedai aplikasinya (App Store) serta meminta pengubahsuaian tertentu pada platform media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Elon Musk mengesahkannya pada Isnin (28 Nov), lapor agensi berita Sputnik. 

"Ya, " kata Encik Musk apabila ditanya sama ada Apple mengancam kehadiran Twitter atau menuntut perubahan pada platform media sosial itu. 

"Apple juga mengancam untuk menyekat Twitter daripada App Storenya, namun sebabnya tidak dimaklumkan kepada kami."

Terdahulu pada Isnin (28 Nov), Encik Musk menyiarkan tinjauan pendapat yang bertanya kepada pengguna Twitter sama ada Apple wajar menyiarkan semua tindakan penapisan yang dilakukannya yang telah menjejaskan pelanggannya.

Tinjauan itu akan ditutup pada petang Selasa (29 Nov), dengan setakat ini, sejumlah besar pengguna Twitter menyokong Apple kerana ia lebih telus mengenai sebarang tindakan penapisan yang mungkin diambilnya.

Minggu lepas, Encik Musk berkata beliau akan mencipta telefon bijak baru sekiranya rangkaian sosial itu dikeluarkan daripada Apple dan Google App Store. 

Encik Musk melakukan tinjauan itu selepas firma bernama LBRY, yang mengendalikan perkongsian fail dan pembayaran untuk rangkaian sosial, menyiarkan kenyataan di Twitter yang mendakwa Apple menetapkan supaya aplikasinya menapis beberapa istilah carian daripada dipaparkan dan jika tidak, aplikasi Twitter tidak akan dibenarkan dalam App Store Apple. 

Pada 28 Oktober, Encik Musk memuktamadkan pemerolehan Twitter membabitkan bayaran berjumlah AS$44 bilion (S$60 bilion).

Berikutan pengambilalihan itu, Encik Musk mengubah operasi harian syarikat, termasuk pemberhentian eksekutif Twitter yang bertanggungjawab ke atas privasi platform, keselamatan siber dan penapisan, serta kira-kira dua pertiga daripada pekerja Twitter.

Ketiadaan eksekutif App Store utama Apple, Phil Schiller daripada Twitter mencetuskan spekulasi bahawa gergasi teknologi itu semakin bimbang tentang pengendalian platform media sosial oleh Encik Musk, termasuk mengembalikan semula akaun yang disekat.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan