Skip to main content

Dunia

Apple alu-alukan tawaran buka kilang di Indonesia

Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia Budi Arie Setiadi berkata Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook menyambut baik permintaan Indonesia untuk membina sebuah kilang pengeluaran Apple di Indonesia, lapor Antara.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia Budi Arie Setiadi berkata Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook menyambut baik permintaan Indonesia untuk membina sebuah kilang pengeluaran Apple di Indonesia, lapor Antara.

Beliau berkata demikian selepas Encik Cook dan Presiden Indonesia Joko Widodo mengadakan pertemuan di Istana Presiden di Jakarta.

"Semasa pertemuan itu, Encik Jokowi meminta Apple supaya mempertingkatkan peranan Indonesia dalam rangkaian bekalan global dan Apple menyambut baik permintaan itu," katanya pada Rabu (17 Apr).

Dari segi pengeluaran komponen produk-produk Apple, hanya dua komponen dihasilkan di Indonesia, berbanding 72 komponen yang dihasilkan oleh negara-negara jiran seperti Vietnam, kata Encik Budi.

Sementara itu, berdasarkan data Kementerian Perindustrian pada 2023, Indonesia mengimport produk Apple bernilai AS$2 bilion (S$2.7 bilion).

Bertitik tolak daripada itu, Indonesia telah mengadakan rundingan dengan Apple untuk gergasi teknologi itu mempertimbangkan untuk melabur dalam pengilangan produk bukan sahaja untuk kegunaan domestik tetapi rakyat Indonesia juga boleh bertindak sebagai pembekal untuk rantaian bekalan global, kata Encik Budi.

"Pemerintah Indonesia menyatakan pasaran negara itu bersikap terbuka, dan banyak produk Apple yang memasuki pasaran tersebut sebelum ini.

"Buat masa ini, jangan sekadar mengimportnya. Produk-produk keluaran Apple juga perlu menambah nilai kepada Indonesia," tegasnya.

Selain itu, pemerintah Indonesia juga akan mengadakan rundingan lanjut antara pihak kementerian dan institusi untuk menggalakkan pengeluaran Apple di Indonesia, katanya.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita