Skip to main content

Dunia

Apple akan buka kilang pengeluaran AirTag di Batam demi penuhi 65% permintaan global

Gergasi teknologi Apple akan membangunkan sebuah kemudahan di Batam seawal tahun hadapan untuk menghasilkan peranti penjejakan AirTag, kata seorang menteri Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
 Apple akan buka kilang pengeluaran AirTag di Batam demi penuhi 65% permintaan global

(Gambar: Facebook/Rosan Roeslani)

Diterbitkan : 08 Jan 2025 05:22PM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 05:23PM
JAKARTA: Gergasi teknologi Apple akan membangunkan sebuah kemudahan di Batam seawal tahun hadapan untuk menghasilkan peranti penjejakan AirTag, kata seorang menteri Indonesia.

Menteri Pelaburan Indonesia Rosan Roeslani berkata kemudahan baharu itu akan membekalkan 65 peratus daripada apa yang Apple perlukan untuk memenuhi permintaan global bagi AirTag.

Peranti kecil itu diuar-uarkan oleh Apple sebagai cara paling mudah untuk menjejaki keberadaan barang milik seseorang.

Langkah itu dilihat sebagai percubaaan Apple untuk menggesa Jakarta supaya menarik balik larangan terhadap penjualan iPhone 16 di negara itu.

Encik Rosan pada Selasa (7 Jan) berkata firma itu "komited sepenuhnya terhadap fasa pertama pembinaan kilang AirTag itu", lapor agensi berita Antara.

Menurut laporan Jakarta Globe, kilang di Batam itu merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$1 bilion (S$1.3 bilion) yang Apple telah berjanji untuk melabur di Indonesia.

"Ia hanya fasa pertama dan akan ada lebih ramai penjual Apple yang akan datang ke Indonesia, jadi janji pelaburan AS$1 bilion itu akan semakin bertambah," kata Encik Rosan.

Pada minggu ini, Apple mulakan satu lagi pusingan rundingan mengenai pelan pelaburan syarikat itu di Indonesia.

Ia menghantar naib presidennya bagi ehwal pemerintah global Nick Ammann untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa, termasuk Encik Rosan serta Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita.

Tempo melaporkan Encik Ammann sebelum ini telah bertemu dengan Encik Rosan pada November tahun lalu selepas Indonesia melarang penjualan iPhone 16 pada bulan sebelumnya.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita