Skip to main content

Dunia

Apakah sumbangan Najib kepada negara? Soal Dr Mahathir tentang hartanah RM100 juta

Dr Mahathir Mohamad menempelak Encik Najib Tun Razak yang didakwa beliau cuba menuding jari mempersalahkannya kerana membuat pindaan kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah sumbangan Najib kepada negara? Soal Dr Mahathir tentang hartanah RM100 juta

Gambar: AFP

Diterbitkan : 23 Nov 2021 05:52PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 05:53PM

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad menempelak Encik Najib Tun Razak yang didakwa beliau cuba menuding jari mempersalahkannya kerana membuat pindaan kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.

Tegas Dr Mahathir, pindaan tersebut bertujuan untuk kerajaan Malaysia mempertimbang memberi sedikit ganjaran kepada mantan Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka dan bukannya untuk bermewah-mewah, lapor Astro Awani.

Sambil menempelak tindakan Najib membuat permohonan kepada Kabinet untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta (S$33 juta) di ibu negara, Dr Mahathir menjelaskan, kebiasaannya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan sedia ada.

Berkenaan tindakan Najib itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan apakah sumbangan Najib kepada negara?

"Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monumen.

"Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada," katanya dalam catatan terbaru bertajuk 'Perdana Menteri?' di blog beliau hari ini (23 Nov).

Dr Mahathir malah menjelaskan beliau sendiri yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak menuntut dan tidak menerima apa-apa selain daripada pencen dan RM10,000 (S$3,259) sebulan untuk menyelenggara rumah.

"Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara," jelas beliau.

Astro Awani melaporkan, Dr Mahathir menjelaskan lagi, seorang Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita