Skip to main content

Dunia

Apakah perbezaan jika suhu dunia naik 1.5° atau 2° Selsius?

Pemimpin dunia di sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow berulang kali menekankan pentingnya suhu pemanasan global dikawal agar tidak naik melebihi 1.5 darjah Selsius, lapor Reuters.

Anggaran Waktu Membaca:
Apakah perbezaan jika suhu dunia naik 1.5° atau 2° Selsius?

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Nov 2021 10:30PM

GLASGOW: Pemimpin dunia di sidang puncak iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow berulang kali menekankan pentingnya suhu pemanasan global dikawal agar tidak naik melebihi 1.5 darjah Selsius, lapor Reuters.

Di bawah Perjanjian Paris 2015, negara-negara mengikrarkan komitmen agar kenaikan suhu bumi berada di bawah 2 darjah Selsius tahap sebelum era perindustrian, dan menetapkan sasaran 1.5 darjah Selsius.

Menurut saintis kadar kenaikan suhu melebihi 1.5 darjah Selsius berisiko mencetuskan kesan perubahan iklim yang lebih teruk terhadap manusia, hidupan liar dan ekosistem.

Bagi menghalangnya daripada berlaku, pelepasan gas karbon dioksida global perlu dikurangkan sebanyak hampir separuh menjelang 2030 berbanding paras yang dicatatkan pada 2010 dan dikurangkan lagi kepada paras sifar-bersih menjelang 2050, iaitu satu tugas bercita-cita tinggi yang dibahaskan para saintis, pembiaya dana, perunding dan aktivis di COP26 tentang cara untuk mencapai dan membiayai sasaran itu.

Namun apakah perbezaannya jika pemanasan bumi meningkat 1.5 atau 2 darjah Selsius? Reuters mendapatkan pencerahan daripada beberapa saintis:

DI MANA KAMI BERADA SEKARANG?

Suhu bumi sudah meningkat sekitar 1.1 darjah Selsius melebihi tahap sebelum perindustrian. Suhu yang dicatatkan sepanjang empat dekad lalu adalah lebih tinggi berbanding mana-mana dekad sejak 1850.

"Kita belum pernah mengalami pemanasan bumi sedemikian dalam tempoh beberapa dekad sahaja," kata saintis iklim Daniela Jacob di Pusat Khidmat Iklim Jerman. "Kenaikan setengah darjah Selsius bermakna keadaan cuaca lebih ekstrem dan seringkali, lebih buruk atau berpanjangan."

Tahun ini sahaja, hujan lebat mencetuskan banjir di China dan Eropah Barat, menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh. Ratusan lagi lagi penduduk maut apabila suhu di Barat Laut Pasifik mencecah paras rekod. Greenland juga menyaksikan pencairan bongkah ais secara besar-besaran manakala kebakaran hutan memusnahkan kawasan Mediterranean dan Siberia dengan Brazil dilanda musim kemarau terburuknya.

"Perubahan iklim sudah pun menjejas setiap pelusuk dunia," kata saintis iklim Rachel Warren di Universiti East Anglia.

CUACA PANAS, HUJAN, MUSIM KEMARAU

Kesan perubahan iklim akan bertambah buruk jika suhu pemanasan bumi meningkat kepada 1.5 darjah Selsius atau lebih daripada itu.

"Bagi setiap kenaikan suhu bumi, kesan perubahan ekstrem akan bertambah buruk," kata saintis iklim Sonia Seneviratne di ETH Zurich.

Misalnya, gelombang haba akan berlaku secara lebih kerap dan lebih serius.

Gelombang haba yang berlaku sekali pada setiap dekad dalam sebuah iklim tanpa pengaruh manusia, akan berlaku sebanyak 4.1 kali dalam sedekad jika suhu naik 1.5 darjah Selsius berbanding 5.6 kali dengan kenaikan 2 darjah Selsius, menurut panel sains iklim PBB (IPCC).

AIS, LAUT, TERUMBU KARANG

Perbezaan antara kenaikan suhu 1.5 darjah Selsius dan 2 darjah Selsius juga sangat kritikal bagi lautan bumi dan kawasan beku.

Kenaikan suhu 1.5 darjah Selsius akan memusnahkan sekurang-kurangnya 70 peratus terumbu karang, namun jika suhu naik 2 darjah Selsius lebih 99 peratus akan musnah.

Ini akan menjejas habitat ikan dan masyarakat yang bergantung pada terumbu karang untuk sumber makanan dan mata pencarian.

MAKANAN, HUTAN, PENYAKIT

Suhu yang meningkat 2 darjah Selsius berbanding 1.5 darjah Selsius juga akan membawa kesan besar terhadap pengeluaran makanan.

"Jika berlaku hasil tanaman dan pertanian global yang merudum pada masa yang sama, anda akan melihat lonjakan harga makanan secara ekstrem dan masalah kelaparan dan kebuluran di sebahagian besar dunia," kata saintis iklim Simon Lewis di Universiti College London.

Suhu bumi yang lebih tinggi juga akan menyaksikan nyamuk pembawa penyakit seperti malaria dan demam denggi merebak ke kawasan lebih meluas.

Namun jika suhu meningkat 2 darjah Selsius, lebih banyak serangga dan haiwan akan kehilangan habitat dan meningkatkan risiko berlaku kebakaran hutan - iaitu satu lagi ancaman kepada hidupan liar. 

Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita