Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Apakah faktor-faktor sehingga PAS begitu berpengaruh di Kelantan?

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Negeri Kelantan diperintah Parti Islam Se-Malaysia atau PAS sejak 1990.

Para penduduk negeri itu terus memberikan sokongan kepada parti pembangkang tersebut meskipun terdapat kekurangan usaha pembangunan sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Ini kerana Kelantan Darul Naim merupakan sebuah negeri yang istimewa bagi segenap masyarakat Islam di Malaysia.

Dengan 96 peratus penduduk Kelantan merupakan golongan Muslim, negeri berkenaan diraikan atas pembelajaran Islam serta para ulama yang dilahirkan.

SEIRINGAN PEMBANGUNAN PRASARANA DENGAN AGAMA

Salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Abdul Malik, 39 tahun, yang menghadiri sekolah agama sepanjang hidupnya.

Kini, beliau bekerja sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam di Kelantan.

Beliau berkata agama dan perkhidmatan awam saling terkait dan perkara itu penting bagi generasi yang ingin menyumbang kepada kemajuan negeri tercinta mereka.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan berkata: "Bagaimana situasi dan suasana yang dibentuk oleh kerajaan negeri, cocok dengan apa yang kita dibesarkan di kalangan sekolah-sekolah.

"Sebenarnya bukan Tok Guru ataupun pimpinan kerajaan negeri mengajar kita untuk menjadi jumud, menolak pembangunan tetapi ia menjadi seiring dengan pembangunan rohani dan jasmani."

Sejak sekian lama, PAS berjaya memaparkan imej yang boleh dipercayai dalam memperjuangkan Islam berbanding sebuah lagi parti Melayu, UMNO, yang dilihat sebagai lebih sekular.

PAS juga mahu Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang berlandaskan nilai-nilai agama seperti menggalak kelakukan bermoral, menegakkan keadilan sosial serta memperjuangkan kesaksamaan ekonomi.

Janji-janji itu disambut baik para penduduk Kelantan yang didapati lebih bersikap konservatif.

Sebilangan daripada mereka yang ditemui menyifatkan kehidupan aman di negeri itu disebabkan oleh pematuhan kepada ajaran-ajaran agama.

"Dengan aspek takwa itulah boleh mendidik bangsa dan negara untuk membuktikan bahawa kita boleh beraman dengan agama Islam dengan sepenuhnya," kata seorang penduduk Kelantan yang ditemui.

FAKTOR DAMPINGI MASYARAKAT: PENGAMAT

Tidak disangkal lagi, identiti Melayu/Islam sangat padu di Kelantan dan ia mempengaruhi politik dengan mendalam.

Lantaran itu, retorik kaum dan agama digunakan untuk menambat hati pengundi.

Para pengamat berkata kejayaan PAS adalah disebabkan hubungan mendalam parti itu dengan masyarakat.

PAS mendampingi mereka melalui kegiatan akar umbi seperti program agama dan sosial.

Ini daripada menyampaikan khutbah politik di masjid hingga kepada membangunkan tadika yang ada kaitan dengan parti tersebut.

Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkata: "Kita tidak boleh mengendahkan peranan dimainkan, kebajikan diberikan, kesemuanya parti itu menyampaikan ke lapangan demi keperluan asas rakyat untuk terus hidup diatasi. PAS sebenarnya turun ke akar umbi untuk menziarahi penduduk yang sakit atau memerlukan bantuan.

"Ini semua tentang bagaimana parti itu mendampingi rakyat di peringkat akar umbi dan kita juga tidak boleh terlepas pandang peranan dimainkan sayap wanita PAS kerana mereka sangat aktif."

Kelantan kini sudah menjadi kubu kuat PAS yang turut mengukuhkan pengaruhnya di Terengganu dan Kedah.

Bersama dengan Parti Bersatu, PAS menjadi parti komponen penting dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menggondol kesemua kecuali satu kerusi Dewan Rakyat di ketiga-tiga negeri itu.

Para pengamat menyifatkannya sebagai gelombang hijau yang kini mengancam akan melanda barat dan selatan Semenanjung Malaysia.
Sumber : CNA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan