Apa yang akan berlaku sekarang selepas AS tinggalkan Afghanistan?
Buat pertama kalinya sejak 2001, tiada tentera Amerika di Afghanistan selepas Amerika Syarikat selesai memindahkan sebahagian besar rakyatnya dan ribuan penduduk Afghanistan yang berisiko.
Tentera Amerika Syarikat menjalankan rondaan di lapangan terbang Kabul. (Gambar: REUTERS)
WASHINGTON: Buat pertama kalinya sejak 2001, tiada tentera Amerika di Afghanistan selepas Amerika Syarikat selesai memindahkan sebahagian besar rakyatnya dan ribuan penduduk Afghanistan yang berisiko.
Lebih 114,000 individu dipindahkan menerusi pesawat dari lapangan terbang Kabul sepanjang dua minggu yang lalu sebagai sebahagian daripada usaha Amerika Syarikat.
Namun, dengan berakhirnya pelibatan tentera Amerika Syarikat di Aghanistan, beberapa persoalan baru diajukan kepada Presiden Joe Biden dan pentadbirannya.
APA AKAN TERJADI KEPADA RAKYAT AMERIKA & PENDUDUK BERISIKO AFGHANISTAN YANG DITINGGALKAN?
Amerika Syarikat sudahpun memindahkan lebih 5,500 rakyat Amerika sejak penerbangan-penerbangan dimulakan pada 14 Ogos. Sejumlah kecil rakyat Amerika memilih untuk kekal di Afghanistan, kebanyakannya kerana mahu bersama anggota keluarga mereka.
Pentadbiran Presiden Biden menyatakan bahawa ia menjangkakan Taliban akan terus membenarkan laluan perjalanan yang selamat bagi rakyat Amerika dan individu lain untuk meninggalkan Afghanistan selepas pemindahan tentera Amerika Syarikat sudah selesai.
Namun, terdapat kebimbangan tentang bagaimana rakyat-rakyat sedemikian akan meninggalkan negara itu sekiranya tiada lapangan terbang yang beroperasi.
Puluhan ribu penduduk Afghanistan yang berisiko, seperti para penterjemah yang bekerja dengan tentera Amerika Syarikat, para wartawan dan aktivis hak wanita juga ditinggalkan.
Nasib mereka belum jelas tetapi para pegawai bimbang bahawa Taliban mungkin bertindak balas terhadap mereka.
Taliban sudah berikrar bahawa ia akan membenarkan semua warga asing dan rakyat Afghanistan yang mempunyai kelulusan keberangkatan untuk pergi ke negara lain, meninggalkan Afghanistan, menurut kenyataan bersama Britain, Amerika Syarikat dan negara-negara lain pada Ahad (29 Ogos).
APA AKAN TERJADI KEPADA LAPANGAN TERBANG KABUL?
Sepanjang dua minggu lalu, tentera Amerika Syarikat memastikan keselamatan dan menguruskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul dengan mengerahkan hampir 6,000 askar.
Taliban kini sedang dalam perbincangan dengan kerajaan-kerajaan di Qatar dan Turki untuk mendapatkan bantuan untuk meneruskan operasi penerbangan awam dari situ, satu-satunya cara orang ramai boleh meninggalkan negara tersebut.
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata pada Ahad bahawa kerja-kerja pembaikan perlu dijalankan di lapangan terbang Kabul sebelum ia boleh dibuka semula kepada penerbangan awam.
Turki, yang merupakan negara anggota NATO, bertanggungjawab atas keselamatan di lapangan terbang tersebut sepanjang enam tahun yang lalu. Memastikan lapangan terbang itu terus dibuka selepas tentera asing mengundurkan diri adalah penting bukan sahaja untuk para penduduk Afghanistan kekal terhubung dengan seluruh dunia tetapi juga bagi meneruskan bakalan bantuan dan operasi.
BAGAIMANA MASA DEPAN HUBUNGAN AS-TALIBAN?
Amerika Syarikat menyatakan ia tidak merancang untuk meninggalkan para diplomatnya di Afghanistan dan akan membuat keputusan tentang apa yang patut dilakukan berdasarkan tindakan Taliban.
Namun, pentadbiran Presiden Biden perlu menentukan bagaimana ia boleh memastikan krisis kemanusiaan dan ekonomi tidak melanda negara tersebut.
Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan lebih 18 juta penduduk - lebih separuh penduduk Afghanistan - memerlukan bantuan dan separuh daripada kanak-kanak Afghanistan di bawah usia lima tahun mengalami kebuluran teruk di tengah-tengah kemarau kedua dalam empat tahun.
Sebilangan negara termasuk Britain menyatakan bahawa tidak ada satu negara pun yang patut mengiktiraf Taliban sebagai pemerintah Afghanistan.
APAKAH JENIS ANCAMAN ISIS?
Salah satu bidang kerjasama antara Amerika Syarikat dengan Taliban mungkin adalah ancaman militan ISIS.
Terdapat beberapa persoalan tentang bagaimana Washington dan Taliban boleh bekerjasama dan mungkin mengongsi maklumat untuk menentang kumpulan tersebut.
Khilafah Islam Khorasan (ISIS-K), yang dinamakan mengikut panggilan bersejarah bagi rantau itu, pertama kali muncul di bahagian timur Afghanistan pada hujung 2014 dan kemudian membangunkan reputasi sebagai kumpulan yang bertindak secara amat kejam.
Kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom nekad di luar lapangan terbang pada 26 Ogos yang meragut nyawa 13 askar Amerika Syarikat dan ramai lagi orang awam Afghanistan.
Amerika Syarikat sudah melancarlan sekurang-kurangnya dua serangan dron ke atas kumpulan itu dan Presiden Biden menegaskan pentadbirannya akan terus bertindak balas.
ISIS-K adalah seteru tegar Taliban tetapi para pegawai risikan Amerika mempercayai bahawa kumpulan itu memanfaatkan ketidakstabilan yang menyebabkan kejatuhan pemerintah Afghanistan yang disokong negara-negara Barat bulan ini untuk memperkukuhkan kuasanya dan merekrut anggota yang tidak berpuas hati dengan Taliban.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.