Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Apa sebabnya Nancy Pelosi ke Taiwan dan mengapa lawatannya cetus kemarahan China?

Anggaran Waktu Membaca:
Apa sebabnya Nancy Pelosi ke Taiwan dan mengapa lawatannya cetus kemarahan China?

(Gambar: Saul Loeb/AFP)

Diterbitkan : 03 Aug 2022 08:46AM Dikemas Kini : 03 Aug 2022 02:48PM
WASHINGTON: Apabila Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi membuat penerbangan ke Taiwan menaiki jet penumpang Angkatan Udara pada Selasa (2 Ogos), beliau menjadi pegawai peringkat tertinggi AS yang pertama dalam tempoh 25 tahun untuk melawat pulau tersebut.

China mengumumkan gerakan tentera sebagai tindakan balas meskipun para pegawai Taiwan mengalu-alukan kedatangan Cik Pelosi dan beliau terus menuju ke tempat penginapannya di hotel.
Sebab mengapa lawatan beliau itu meningkatkan lagi ketegangan antara China dengan AS adalah China mendakwa bahawa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayahnya dan ia menganggap kunjungan para pegawai pemerintah dari luar negara ke pulau tersebut sebagai mengiktiraf kedaulatannya.

Presiden Joe Biden sudah berusaha untuk menangani rungutan tersebut dan menegaskan bahawa tidak ada perubahan pada "dasar satu China" yang sudahpun dipegang Amerika Syarikat sejak sekian lama. Dasar itu mengiktiraf Beijing, namun masih membolehkan hubungan tidak rasmi dan hubungan pertahanan dijalinkan dengan Taipei.

Cik Pelosi menyifatkan lawatan berprofil tinggi beliau itu sebagai sebahagian daripada kewajipan AS untuk menegakkan demokrasi menentang negara-negara autokratik dan berdiri bersama demokratik Taiwan menentang China.
MENGAPA CIK PELOSI LAWAT TAIWAN?

Cik Pelosi sudah melakarkan misi beliau sepanjang masa beberapa dekad untuk memberikan sokongan kepada gerakan demokrasi.

Ia termasuk lawatan ke Dataran Tiananmen pada 1991 di mana beliau dan penggubal undang-undang lain mengangkat sepanduk kecil bagi menyokong demokrasi ketika pegawai keselamatan China cuba untuk menghentikan tindakan mereka itu.

Pasukan China mematahkan usaha gerakan demokrasi tempatan di lokasi yang sama dua tahun sebelumnya.

Speaker Dewan itu memaparkan lawatan beliau ke Taiwan sebagai sebahagian daripada misi yang lebih luas ketika "dunia berdepan dengan pilihan antara autokrasi dengan demokrasi."

APAKAH PENDIRIAN AS MENGENAI TAIWAN?

Pentadbiran Encik Biden, dan Cik Pelosi, menyatakan bahawa AS kekal komited terhadap "dasar satu China".

Beijing melihat hubungan rasmi Amerika Syarikat dengan Taiwan sebagai satu dorongan untuk menjadikan kemerdekaan de facto pulau itu selama berdekad-dekad sesuatu yang kekal, satu langkah yang tidak disokong oleh para pemimpin AS.

BAGAIMANAKAH TENTERA CHINA TANGANI LAWATAN PELOSI?

Sejurus selepas ketibaan Cik Pelosi, China mengumumkan beberapa siri operasi dan latihan ketenteraan yang berpegang kepada ikrarnya untuk melaksanakan "langkah-langkah tegas dan kukuh" jika Cik Pelosi meneruskan lawatannya itu.

Agensi berita rasmi China, Xinhua News, menyatakan bahawa tentera merancang untuk menjalankan latihan tembakan langsung dari Khamis (4 Ogos) hingga Ahad (7 Ogos) di beberapa kawasan.

Sekeping gambar yang dikeluarkan oleh agensi berita tersebut menyatakan bahawa latihan tembakan itu bakal diadakan di enam kawasan berbeza di perairan sekitar Taiwan.

Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan pada awal Rabu (3 Ogos) bahawa China sudah mengerahkan 21 pesawat untuk terbang menuju ke arah Taiwan, dengan 18 daripadanya adalah jet pejuang.

APAKAH TINDAK BALAS AMERIKA SYARIKAT?

Meskipun Encik Biden meluahkan beberapa kebimbangan mengenai lawatan Cik Pelosi, pentadbiran itu tidak menentangnya secara terbuka dan menyatakan bahawa ia terpulang kepada Cik Pelosi untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan dengan lawatan tersebut.

ADAKAH KONFLIK BERSENJATA SATU RISIKO?

Kedua-dua Presiden China Xi Jinping dan Encik Biden sudah menegaskan dengan jelas bahawa mereka tidak mahu perkara itu berlaku.

Dalam panggilan telefon bersama Encik Biden pada minggu lalu, Encik Xi mengulangi kenyataan Encik Biden bahawa negara mereka harus bekerjasama dalam bidang-bidang yang dimampui.
Sumber : AP/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan