Skip to main content

Dunia

Apa itu kepala air?

Fenomena kepala air yang kerap berlaku di kawasan rekreasi seperti di sungai atau air terjun boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika dalam keadaan cuaca tenang.

Anggaran Waktu Membaca:
Apa itu kepala air?
Diterbitkan : 18 Nov 2024 10:36PM Dikemas Kini : 18 Nov 2024 10:43PM
ALOR SETAR: Fenomena kepala air yang kerap berlaku di kawasan rekreasi seperti di sungai atau air terjun boleh berlaku pada bila-bila masa walaupun ketika dalam keadaan cuaca tenang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata berikutan itu orang ramai yang mengunjungi lokasi riadah sedemikian perlu sentiasa peka dengan keadaan persekitaran.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman pihaknya, cuaca hujan di atas gunung boleh menyebabkan berlaku kejadian kepala air dalam tempoh seawal 10 minit apabila aliran sungai ke kaki bukit turun dengan deras, bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

"Biasanya kepala air boleh turun dalam tempoh 10 hingga 30 minit mengikut kelebatan curahan hujan yang berlaku. Disebabkan itu jika di kawasan kaki bukit tidak hujan, tetapi di atas bukit cuaca hujan, kepala air masih boleh berlaku secara mengejut.

"Antara petanda akan berlakunya kepala air, termasuk bunyi deruan kuat di atas puncak bukit atau gunung selain warna air secara tiba-tiba bertukar keruh mendadak yang disertai ranting kayu dan daun berselerak mengikut aliran air," katanya ketika dihubungi pada Isnin (18 Nov), seperti dinukil BH Online.

Encik Awang Hidzel berkata orang ramai yang terlibat dalam sebarang aktiviti di air sepatutnya memakai alat perlindungan diri seperti jaket keselamatan kerana ia dapat membantu mereka menyelamatkan diri sekiranya arus deras kepala air berlaku.

Namun, katanya, jika orang ramai dapat mengesan lebih awal petanda akan berlaku kepala air, mereka sebaiknya tidak menunggu dan segera naik ke kawasan selamat yang jauh dari aliran sungai.

"Jika ada petanda seperti bunyi deruan dan air sungai menjadi keruh berlaku, jangan tunggu lagi, segera beredar dari kawasan itu kerana bimbang kepala air akan berlaku yang boleh mengancam nyawa.

"Sebaiknya dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, kita perlu elak mengunjungi kawasan rekreasi termasuk di pantai, sungai dan bukit untuk mengelak kejadian ini berlaku," katanya seperti dinukil BH Online.
Sumber : Sumber Web/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita