Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AP pembangkang Malaysia keluar dewan; dakwa PM Anwar tidak ikut Peraturan Mesyuarat

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Hampir semua Ahli Parlimen blok pembangkang di Malaysia pada Selasa (27 Feb) bertindak keluar Dewan Rakyat selepas tidak berpuas hati kerana mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Protes tersebut dibuat susuli Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul membenarkan Encik Anwar, yang juga Ahli Parlimen Tambun untuk menyampai Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, tindakan Encik Anwar memberikan penerangan tersebut di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan 'sokongan majoriti' yang dimiliki oleh kerajaan.

"Apa yang saya telah saya bangkitkan tadi (di Dewan Rakyat) untuk menjelaskan kerajaan jangan menggunakan kuasa majoriti untuk buat sesuatu sewenang-wenangnya.

"Kalau kita dengar Titah Diraja, kita mesti ikut perundangan dan proses yang ada. Sepatutnya YB Perdana Menteri tunggu, sampai masa, cakaplah. Dia nak (cakap) dua atau tiga jam.. satu hari suntuk, kita boleh dengar.

"Apabila melakukan sesuatu di luar Peraturan Mesyuarat... ini adalah sesuatu penyalahgunaan kuasa yang ada. Sebab itu kita tidak setuju. Rakyat di luar sana beranggapan pembangkang hanya biarkan saja apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini.

"Kami nak buktikan segala apa yang mereka lakukan itu tidak ikut peraturan dan kita akan bangkang," katanya dalam sidang media di Parlimen pada Selasa, dipetik daripada Astro Awani.

Sebelum itu, Dewan Rakyat kecoh selepas beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang bangkit membantah cadangan Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) dan 14(1)(j) yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Sementara dalam sidang media sama, Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin menyifatkan slot yang diberikan kepada Encik Anwar itu sebagai satu kejadian 'luar biasa'.

"Kami berada dalam dewan di mana Speaker buat satu keputusan untuk membenarkan Perdana Menteri keluarkan satu kenyataan Penerangan Menteri. Ini agak luar biasa kerana Usul Menjunjung Kasih kepada Yang di-Pertuan Agong telah dibentangkan tadi dan disokong.

"Oleh sebab itu, apa yang berlaku hari ini agak luar biasa. Macam mana ada satu slot termasuk di tengah-tengah (perbahasan).... mereka menggunakan majoriti... boleh buat apa yang suka (hati) sehingga tak ikut peraturan," ujar Encik Muhyiddin, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan