AP parti Anwar Ibrahim gesa siasatan diraja berkait isu kekosongan jawatan hakim tertinggi, mahu PM jelaskan
Sekumpulan ahli parlimen parti politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa supaya satu siasatan diraja serta siasatan Parlimen dijalankan berkait kekosongan jawatan berprofil tinggi dalam badan kehakiman Malaysia.
Ahli-ahli parlimen PKR termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad (barisan pertama, pertama dari kiri) and Rafizi Ramli (barisan pertama, kedua dari kiri) gesa siasatan dijalankan terhadap kekosongan jawatan kehakiman tertinggi. (Gambar: Facebook/Nik Nazmi)
Gesaan yang dibuat pada Isnin (7 Julai) turut menuntut agar perdana menteri dipanggil untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung isu berkenaan.
Menurut penganalisis yang ditemu bual oleh Mediacorp, tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR itu dilihat sebagai luar biasa dan secara langsung mencabar kepimpinan Encik Anwar Ibrahim.
Ini merupakan tamparan terbaharu terhadap kerajan perpaduan pimpinan Encik Anwar, sedang kebingungan dan keresahan semakin memuncak berikutan kekosongan jawatan dua hakim tertinggi negara — sekali gus mencetuskan tuduhan campur tangan politik dalam urusan kehakiman.
Jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas persaraan Tengku Maimun Tuan Mat dan Abang Iskandar Abang Hashim minggu lalu.
Hakim ketiga tertinggi negara, Hakim Besar Malaya, Hasnah Mohammed Hashim, kini mengambil alih tugas sebagai Ketua Hakim Negara.
"Sebagai AP, ia adalah tanggungjawab kami unutk menegakkan kebebasan badan kehakiman serta prinsip pengasingan kuasa antara tiga cabang kerajaan — legislatif, eksekutif dan kehakiman,” kata sembilan Ahli Parlimen penyokong kerajaan daripada parti PM Anwar itu dalam satu kenyataan bersama.
Mereka termasuk mantan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (Pandan) and mantan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), yang kedua-duanya meletak jawatan daripada Kabinet pada Mei lalu berikutan kekalahan mereka dalam pilihanraya dalaman PKR.
Ahli Parlimen lain yang turut terlibat ialah Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).
"Kontroversi yang pada mulanya tertumpu kepada kekosongan jawatan kehakiman tertinggi kini menjadi semakin kritikal apabila lebih banyak maklumat didedahkan kepada umum,” tambah mereka.
Encik Rafizi mengemukakan tiga perkara berkait kekosongan jawatan tertinggi dalam badan kehakiman: Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), badan yang mencadangkan calon kepada Perdana Menteri untuk pelantikan dan kenaikan pangkat, mencadangkan hakim-hakim baharu bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, namun kerajaan gagal bertindak dengan segera, menyebabkan kekosongan yang berlaku kini, katanya.
JAC memberikan cadangan kepada PM Anwar sebelum penyandang jawatan bersara katanya.
JAC bertemu pada Jumaat yang lalu (4 Jul) tanpa notis 10 hari seperti yang dikehendaki untuk membuat cadangan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan, katanya lagi.
Hakim mahkamah atasan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat perdana menteri dan setelah perundingan dengan Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada ketua-ketua rumah diraja negara.
JAC mencadangkan calon kehakiman yang layak kepada Perdana Menteri. Berikutan persaraan Tengku Maimun dan Abang Iskandar, hanya tujuh ahli dilaporkan kekal dalam JAC.
Mereka ialah Hasnah, Ketua Hakim Sabah and Sarawak Abdul Rahman Sebli, bekas Peguam Negara Idrus Harun, bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali, bekas Peguam Negeri Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid, penasihat undang-undang Universiti Teknologi MARA Hartini Saripan, dan hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Yusof.
Ahli-ahli parlimen PKR turut mengemukakan perkara keempat: Ketika sebuah persidangan JAC lalu, seorang hakim Mahkamah Persekutuan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung tuduhan cubaan mempengaruhi keputusan mahkamah serta pelantikan hakim.
Encik Rafizi berkata, seorang pegawai hakim Mahkamah Persekutuan - "bukan seorang pempengaruh atau pembangkang" - membuat aduan polis berkenaan dengan perkara tersebut, menunjukkan tahap serius situasi itu.
“Fakta-fakta ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan beberapa pengamal undang-undang dan masyarakat umum yang melihat masalah badan kehakiman … iaitu, percubaan mempengaruhi pelantikan hakim dan keputusan dalam kes mahkamah,” kata mereka.
GESA SIASATAN DIRAJA DAN SIASATAN PARLIMENT
Ahli-ahli Parlimen tersebut berkata mereka akan menyokong dan menggesa agar siasatan diraja (RCI) dijalankan berhubung empat perkara yang dibangkitkan.
Mereka juga akan membuat permohonan rasmi bagi penubuhan jawatankuasa pilihan parlimen yang menangani isu hak asasi manusia, pilihan raya dan reformasi institusi untuk memulakan prosiding dan siasatan terhadap perkara-perkara tersebut, “termasuk memanggil Perdana Menteri untuk memberi penjelasan”.
RCI ialah badan pencarian fakta yang ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat jemaah Menteri, dan kebiasaannya terdiri daripada bekas hakim yang ditugaskan untuk menyiasat dan menyediakan laporan hasil dapatan mereka.
Ahli-ahli parlimen PKR itu turut mengingatkan bahawa kerajaan sebelum ini pernah menubuhkan sebuah RCI berhubung isu campur tangan dalam badan kehakiman — ketika sebuah video tersebar pada tahun 2007 memaparkan peguam VK Lingam didakwa berbincang dengan mantan Hakim Besar Malaya Ahmad Fairuz Abdul Halim mengenai pelantikannya ke jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan.
PM Anwar yang kini berada di Brazil bagi sidang puncak kepimpinan BRICS ke-17 berkata pada minggu lalu bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam hal kehakiman termasuk pelantikan hakim, dan bersetuju bahawa pelantikan seperti itu tidak seharusnya dipolitikkan.
Encik Rafizi berkata pada Isnin bahawa isu-isu itu melangkaui batas politik parti dan perbezaan ideologi, sambil menyatakan harapan agar semua parti membenarkan Ahli Parlimen mereka bersuara secara bebas tanpa arahan parti.
“Adalah sangat penting untuk melibatkan semua pihak, tanpa mengira pandangan berfat sebelah,” katanya sambil mengajak Ahli Parlimen pembangkang serta dari gabungan berasaskan Borneo menyokong pendirian sembilan Ahli Parlimen PKR tersebut.
Dalam kenyataan mereka, kumpulan AP itu memaklumkan mereka akan melancarkan kempen dalam kalangan rakan-rakan AP lain untuk mendapatkan sokongan luas terhadap siasatan oleh Parlimen dan RCI.
Mereka juga akan memulakan petisyen online serta satu siri "forum awam" di seluruh negara bagi menggerakkan sokongan rakyat terhadap isu itu, dengan sesi pertama di Kuala Lumpur/Selangor pada 13 Julai pukul 8.30 malam sebelum ke bandar-bandar utama lain.
“Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengambil berat terhadap isu ini yang akan membawa kesan besar terhadap rakyat dan masa depan negara, walaupun ia mungkin kelihatan kecil berbanding isu-isu lain,” tambah mereka.
TAMPARAN HEBAT BAGI PM ANWAR?
Tindakan sembilan AP tersebut bukanlah suatu norma dan akan mendatangkan implikasi terhadap parti mereka, kata penyelidik.
Asrul Hadi Abdullah Sani, rakan di firma penasihat strategik ADA Southeast Asia, berkata ia sesuatu yang “sangat luar biasa” untuk ahli parti pemerintah menyuarakan pandangan tidak setuju secara terbuka, walaupun mereka percaya tindakan itu selaras dengan prinsip asas parti.
"Ia boleh dianggap sebagai satu cabaran terbuka terhadap Encik Anwar dan kepimpinannya. Dalam erti kata lain, tindakan 'PKR Nine' itu boleh dianggap sebagai satu tamparan terhadap Perdana Menteri,” katanya kepada Mediacorp.
Penganalisis dari Nusantara Academy for Strategic Research, Azmi Hassan, pula berkata terdapat "sindiran" bahawa Encik Anwar sedang menahan cadangan JAC daripada disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
"Saya rasa tindakan Rafizi dan kumpulannya untuk menyindir seolah-olah Anwar menangguhkan pelantikan itu adalah tidak wajar. Persepsi negatif yang timbul akan lebih menjejaskan reputasi Datuk Seri Anwar,” katanya.
Tambahnya lagi, Encik Rafizi, sebagai ahli PKR dan mantan menteri, sepatutnya memahami proses pengisian jawatan kritikal dalam badan kehakiman.
Keputusan muktamad pelantikkan kehakiman bergantung kepada Sultan dan Majlis Raja-Raja, katanya. "Jadi apabila Rafizi mengatakan ada persepsi negatif terhadap isu ini, perdana menteri tidak boleh dipersalahkan."
Sementara itu, menurut Encik Azmi berkata mengapa Encik Anwar memilih untuk kekal berdiam diri boleh "difahami" kerana keputusan itu bukanlah dalam bidang kuasanya sepenuhnya.
Penganalisis politik Asrul Hadi berkata, walaupun kenyataan sembilan ahli Parlimen itu akan menyebabkan pentadbiran Encik Anwar diselidiki dengan lebih teliti, kumpulan itu tidak mungkin akan mengundi menentang perdana menteri dalam undang-undang utama.
“Namun, implikasi yang lebih besar mungkin timbul apabila pilihan raya diadakan, dan Anwar mungkin berdepan tekanan untuk menggugurkan sembilan Ahli Parlimen ini sebagai calon, sekali gus membuka ruang kepada perpecahan dalam parti dan menguatkan pembangkang,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.