AP M'sia gesa undang-undang ucapan kebencian susuli laporan Rohingya Reuters
Ahli parlimen pembangkang Chan Foong Hin pada Selasa (24 Nov) menggesa agar Malaysia melarang ucapan kebencian online, menuduh pihak berkuasa menganggap remeh masalah yang diketengahkan oleh siasatan Reuters ke atas penderaan pelarian Rohingya dan pendatang tanpa dokumen di Facebook.
Gambar fail bertarikh 7 April 2020 menunjukkan pelarian Rohingya di Malaysia menerima bantuan dari sukarelawan (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)
KUALA LUMPUR: Ahli parlimen pembangkang Chan Foong Hin pada Selasa (24 Nov) menggesa agar Malaysia melarang ucapan kebencian online, menuduh pihak berkuasa menganggap remeh masalah yang diketengahkan oleh siasatan Reuters ke atas penderaan pelarian Rohingya dan pendatang tanpa dokumen di Facebook.
Memetik laporan Reuters mengenai meningkatnya xenofobia online di Malaysia setelah COVID-19, Encik Chan, Ahli Parlimen Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kota Kinabalu, meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia minggu lalu menjelaskan rancangannya untuk memerangi ucapan kebencian seperti itu.
Dalam jawapan bertulis parlimen pada Khamis, kementerian menyatakan ucapan kebencian di platform media sosial seperti Facebook dinilai mengikut syarat syarikat tersebut dan akan dipadam jika melanggar piawai masyarakat.
Kementerian itu tidak merujuk secara langsung kepada laporan Reuters dalam responsnya, tetapi ia menyatakan pihaknya telah mengarahkan penyiar negara RTM dan agensi berita negara Bernama untuk mengeluarkan laporan yang akan membantu perbetulkan "salah faham", dan mengekang "unsur luaran yang cuba memburukkan nama baik Malaysia".
Encik Chan berkata pihak kerajaan nampaknya menyalurkan tanggungjawab itu kepada Facebook atau menganggap remeh ucapan kebencian sebagai "salah faham" atau "berita palsu".
"Kementerian seolah-olah tidak mahu mengaku dan berpendapat bahawa ucapan kebencian seperti yang dilaporkan oleh Reuters terkawal, dan tidak perlu ada kawalan lebih lanjut melalui undang-undang," katanya. "Sudah tiba waktunya kita menggubal undang-undang yang menghukum pelaku ucapan kebencian."
Beliau menambah bahawa undang-undang yang ada sekarang tidak mencukupi untuk mengawal "mereka yang membuat dan menyebarkan ucapan kebencian" dalam kalangan masyarakat yang berbeza.
Malaysia mempunyai undang-undang meluas terhadap komen yang menyinggung perasaan dan menghasut meliputi beberapa aspek ucapan kebencian, tetapi ada pihak yang menyeru undang-undang khusus mengenai ucapan kebencian, dengan menarik perhatian terhadap sensitiviti etnik dan agama di negara majmuk itu.
Negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu sekian lama menyokong masyarakat minoriti Muslim Rohingya, yang melarikan diri dari kekerasan di Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Namun, sentimen itu berubah pada April di tengah-tengah tuduhan bahawa pelarian dan pendatang tanpa dokumen membawa masuk virus korona.
Kumpulan-kumpulan hak asasi menuduh kerajaan Malaysia gagal menangani sentimen anti-pendatang yang semakin lantang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.