Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AP Australia, anak kelahiran M'sia raih pujian guna Bahasa Melayu dan Mandarin di Parlimen

Anggaran Waktu Membaca:
AP Australia, anak kelahiran M'sia raih pujian guna Bahasa Melayu dan Mandarin di Parlimen

Anggota Parlimen Australia, Sam Lim, yang juga anak kelahiran Malaysia. (Gambar: Sam Lim MP/Facebook)

KUALA LUMPUR: Seorang Anggota Parlimen (AP) di Australia, Sam Lim, yang turut merupakan anak kelahiran Malaysia, meraih pujian selepas berucap dalam Bahasa Melayu dan Mandarin dalam ucapan sulungnya semasa sidang Parlimen Australia pada Rabu (7 Sep).

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah dan selamat berkhidmat kepada anak jati Muar, Johor tersebut yang dilantik sebagai Anggota Parlimen Tangney di Dewan Perwakilan Australia.

Encik Ismail Sabri menerusi hantaran di platform Twitternya turut meluahkan rasa bangga apabila Lim turut bertutur dalam Bahasa Melayu dalam ucapan sulungnya itu.

"Bahasa Melayu bergema di bumi Australia! Saya bangga melihat Bahasa Melayu dimartabatkan di pentas dunia oleh @SamLimMP ketika menyampaikan ucapan sulung beliau di Parlimen Australia," ucap Encik Ismail Sabri.

Encik Lim, 61 tahun, dari Parti Buruh Australia (ALP), dilantik sebagai Anggota Parlimen selepas memenangi kerusi Tangney di Perth pada pilihan raya umum Australia, baru-baru ini.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

Encik Lim yang dilahirkan pada tahun 1961, pernah berkhidmat sebagai anggota Polis Diraja Malaysia selama dua tahun pada 1983, sebelum bertugas sebagai pelatih ikan lumba-lumba serta mengusahakan beberapa perniagaan di Malaysia dan Australia.

Beliau bersama isteri dan tiga anaknya kemudian, berhijrah ke Australia dan menyertai Akademi Polis Barat Australia pada 2006 seterusnya bertugas di Perth. Malah, pada 2020 beliau dianugerahkan 'Pegawai Polis Terbaik' atas khidmatnya dalam masyarakat pelbagai budaya ketika penularan pandemik COVID-19.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan