Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Anwar, Wan Azizah dijadual bertemu Agong; DAP adakan mesyuarat tergempar

Desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula politik yang menggemparkan Malaysia pada Ahad (23 Feb) masih belum berakhir dan isu itu dijangka berterusan hari ini (24 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Anwar, Wan Azizah dijadual bertemu Agong; DAP adakan mesyuarat tergempar

Presiden PKR Anwar Ibrahim bersama isterinya Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Wan Azizah Wan Ismail bercakap kepada media pada 16 Mei 208. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 24 Feb 2020 10:52AM Dikemas Kini : 24 Feb 2020 10:56AM

KUALA LUMPUR: Desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula politik yang menggemparkan Malaysia pada Ahad (23 Feb) masih belum berakhir dan isu itu dijangka berterusan hari ini (24 Feb).

Ini berikutan beberapa program yang dijadual berlangsung hari ini, antaranya, Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dan suaminya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim, yang dijangka mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 2.00 petang.  

Selain itu, DAP - satu daripada parti komponen dalam gabungan Pakatan Harapan - juga dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar berikutan perkembangan politik terbaru itu di ibu pejabat parti berkenaan di ibu negara.

Semalam, beberapa pemimpin utama pelbagai parti politik kerajaan dan pembangkang hadir dalam satu mesyuarat khas dan tertutup di sebuah hotel di Petaling Jaya, mencetuskan tanda tanya tentang tujuan mesyuarat tersebut diadakan. 

Sebelum itu, beberapa mesyuarat berasingan melibatkan beberapa parti politik diadakan di tengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara. 

Pemimpin parti mengunci mulut mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tertutup di ibu negara dan Petaling Jaya yang menarik perhatian media.  

Awal dari itu semalam, UMNO mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas selama dua jam dari 4.00 petang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bersatu juga mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya, dipengerusikan oleh pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang enggan mengulas lanjut ketika beliau diserbu semasa meninggalkan premis itu.

Beberapa Ahli Parlimen dari parti politik di Sabah dan Sarawak juga mengadakan mesyuarat di ibu negara.

Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana sejak 5.30 petang, sesetengahnya diiringi polis pengiring. Kenderaan berkenaan dilihat meninggalkan istana dua jam kemudian.

Anwar dalam satu majlis di kediamannya di Bukit Segambut malam semalam berkata pihaknya sedang menunggu maklumat mengenai apa yang beliau menganggap sebagai satu percubaan menubuhkan sebuah kerajaan baru. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan