Anwar ucap tahniah, harap kemenangan Samsuri di PRK Kemaman redakan suhu politik Malaysia

(Gambar fail: Anwar)
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah atas kemenangan Ahmad Samsuri Mokhtar mempertahankan kerusi parlimen Kemaman untuk Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu lalu (2 Dis).
Lebih daripada itu Encik Anwar berharap kemenangan berkenaan akan dapat menyumbang "kelegaan" kepada politik negara yang sering tegang dan panas, lapor Malaysiakini.
Katanya harapan itu ditimbulkan kerana pembawaan Encik Ahmad Samsuri yang dilihat lebih sederhana berbanding sesetengah pemimpin PAS yang “jauh lebih ekstrem”.
"Saya mengucapkan taniah kepada Datuk Seri Samsuri kerana kemenangan itu dan mudah-mudahan dia dapat bertugas yang baik.
"Dan saya juga berharap, dari segi negara, dia memberikan sekurang-kurangnya sedikit kelegaan, kerana imej (Ahmad Samsuri) yang lebih sederhana berbanding sikap pimpinan PAS yang nampak jauh lebih ekstrem.
"Mudah-mudahan dia dapat meredakan suhu politik yang terlalu panas (ketika ini)," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
PM Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis Hari Profesion Teknikal Negara di Presint 1, Putrajayapada Selasa (5 Dis).
Turut hadir, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.
Selain masih berkhidmat sebagai menteri besar, Encik Ahmad Samsuri merupakan tokoh profesional yang dipilih ahli PAS sebagai naib presiden mereka buat penggal kedua.
Beliau merupakan bekas ahli akademik yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia.
Dua lagi naib presiden PAS merupakan tokoh yang memiliki latar belakang agama iaitu Idris Ahmad dan Mohd Amar Abdullah.
Pun begitu Encik Ahmad Samsuri dilihat merupakan antara watak paling dipercayai Abdul Hadi Awang kerana pernah dilantik sebagai setiausaha politik presiden PAS berkenaan.
Pada 2 Dis lalu Encik Ahmad Samsuri, 53 tahun, memenangi pilihan raya kecil (PRK) Kemaman dengan mengalahkan calon BN dengan perbezaan lebih 37,000 undi.
Mengulas lanjut mengenai keputusan PRK Kemaman, PM Anwar berkata, data menunjukkan peratusan pengundi yang keluar untuk memilih ahli parlimen pada Sabtu lalu adalah rendah berbanding semasa PRU pada tahun lalu.
Menurut laporan Malaysiakini, Encik Anwar juga berpendapat penjelasan mengenai situasi itu patut diberikan kepada orang ramai agar gambaran lebih jelas dan menyeluruh dapat difahami.
Encik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pada Isnin pemimpin gabungan itu dan UMNO telah mengadakan pertemuan.
"Saya berpuas hati kerana nampaknya mereka akan mengerahkan jentera untuk ke akar umbi (untuk menjelaskan dasar-dasar kerajaan)," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.